Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL: MELAKA PERGIAT KEMPEN TUKAR ALAMAT KAD PENGENALAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 Mei – Kempen menukar alamat kad pengenalan bagi penduduk yang menerima alamat baharu menerusi inisiatif Kampung Digital kini sedang dipergiatkan Kerajaan Negeri.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penukaran alamat itu amat penting bagi memudahkan segala urusan berkaitan kerajaan, selain penyaluran bantuan yang lebih efisien dan berkesan.

Menurut beliau, kempen itu digerakkan secara meluas memandangkan data menunjukkan penukaran alamat membabitkan penduduk Kampung Digital masih lagi rendah.

“Jadi, kita menggalakkan semua penduduk terlibat untuk segera membuat penukaran alamat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara kerana inisiatif ini diberikan secara percuma sehingga hujung tahun ini.

“Kita bimbang apabila tidak berbuat demikian, pelbagai urusan seperti berkaitan tanah, utiliti dan sebagainya terganggu dan tidak dapat disempurnakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada Hari Bersama Komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Lorong Pandan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.

Menurut Fairul Nizam, antara usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan penukaran alamat kad pengenalan Kampung Digital adalah dengan menggerakkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memberi pemakluman kepada penduduk.

Pada masa sama, jelas beliau, Jabatan Pendaftaran Negara turut menggerakkan van MEKAR ke kampung-kampung bagi memudahkan penduduk.

“Kini, kita dalam usaha untuk menambah satu lagi van MEKAR di negeri ini dalam usaha mempergiatkan lagi kempen penukaran alamat ini kepada penduduk yang terlibat dengan inisiatif Kampung Digital,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

118
Kongsi :
Previous post WANITA PERLU MAIN PERANAN JAGA WARISAN MELAKA GEOPARK – KALSOM