
LEBIH 3,000 KELUARGA TERIMA BANTUAN KEBAJIKAN SEJAK 2020 DI DUN KOTA LAKSAMANA
KOTA LAKSAMANA 23 Mei – Lebih 3,000 keluarga dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana menerima bantuan kebajikan yang disalurkan sejak tahun 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, bantuan itu mula digerakkan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan diteruskan sehingga kini bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Chee Leong yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, lebih RM300,000 telah dibelanjakan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk kit makanan asas, barangan dapur dan keperluan harian kepada golongan memerlukan dalam kawasannya.
“Bantuan itu kita telah berikan secara konsisten kepada golongan sasaran dan sehingga kini hampir 60 bulan bantuan telah disalurkan membabitkan lebih 3,000 penduduk dalam kawasan Kota Laksamana.
“Apa yang penting kebajikan warga DUN Kota Laksamana kekal terjaga dan terus diberi perhatian secara berterusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Program Cakna Kebajikan: Ziarah Kasih sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kota Laksamana yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying di Japerun Kota Laksamana, pada Rabu.
Beliau berkata, fokus utama menerusi WRUR DUN Kota Laksamana adalah memastikan agenda kebajikan masyarakat terus diperkasa dan dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan penduduk setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

