Sorting by

×

WRUR KOTA LAKSAMANA: PEMBANGUNAN SUNGAI MELAKA FASA 2 BERI MANFAAT BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Mei – Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa 2 di River Water Treatment Plant (RWTP) Kampung Enam, dijangka mampu mewujudkan produk pelancongan baharu dan menyediakan sumber bekalan air lebih bersih kepada pengguna sekitar.

Pelaksanaan Fasa 2 melibatkan jajaran 39 kilometer dari Jambatan Hang Jebat hingga ke Kampung Gadek dengan kawasan tumpuan antara Jambatan Hang Jebat dan Pintu Kawalan Pasang Surut Batu Hampar serta tambahan enam kilometer di kawasan hulu fasa satu.

Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana satu lawatan bagi menilai kemajuan projek itu dilakukan, semalam.

Lawatan diketuai Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan turut disertai Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong, wakil jabatan serta agensi Kerajaan Negeri berkaitan.

Antara skop projek termasuk pembinaan laluan pejalan kaki di sepanjang tebing sungai, pembinaan tembok perlindungan tebing sungai, kemudahan river cruise termasuk stesen water taxi, menaik taraf jambatan sedia ada kepada jambatan gerbang bercahaya serta pemasangan sistem rawatan air berteknologi tinggi bagi meningkatkan kualiti air Sungai Melaka.

Pelaksanaan fasa satu sebelum ini telah memberi manfaat besar kepada Negeri Melaka terutama dalam menjana pendapatan pelancongan selain mewujudkan produk pelancongan baharu.

Berikutan kejayaan fasa pertama itu, kerajaan meneruskan pelaksanaan fasa dua bagi memastikan sumber air yang lebih bersih serta meningkatkan potensi ekopelancongan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post AIDILADHA: MELAKA ANJUR JUALAN RAHMAH MADANI DI 96 LOKASI