Sorting by

×

MELAKA SASAR TAMBAH ‘NADI’ DI KAWASAN PADAT PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Mei – Melaka menyasarkan untuk menambah 10 lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, permohonan penambahan NADI itu telah dikemukakan kepada Kementerian Komunikasi dan kini hanya menunggu kelulusan.

Jelas beliau, setakat ini Melaka berjaya merealisasikan sasaran satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu NADI dengan keseluruhan sebanyak 39 NADI di seluruh negeri.

“Atas faktor terdapat beberapa DUN yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi, kita telah menghantar 10 lagi permohonan NADI baharu untuk pertimbangan pihak kementerian.

“Kawasan tambahan ini akan ditentukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kita amat berharap ia dapat diluluskan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian NADI Lorong Pandan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kota Laksamana, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong dan Pengarah MCMC Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.

Menurut Fairul Nizam, NADI di Negeri Melaka telah memperluaskan peranannya termasuk dengan menyediakan kelas berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang boleh dimanfaatkan komuniti khususnya generasi muda.

“Oleh sebab itu, saya berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan NADI di kawasan masing-masing untuk mendapatkan pelbagai manfaat termasuk menyediakan akses internet dan latihan kemahiran, selain turut berperanan menyebarkan maklumat sebenar mengenai inisiatif dan dasar disediakan kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

83
Kongsi :
Previous post KRT JADI ‘JAMBATAN’ BANTU KEBAJIKAN PENDUDUK MEMERLUKAN