
PPSPM OPTIMIS MELAKA RIVER CRUISE CAPAI SASARAN 1 JUTA PENGUNJUNG
BANDARAYA MELAKA 22 Mei – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) optimis mencapai sasaran satu juta pengunjung menikmati pelayaran Melaka River Cruise tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, sasaran itu bersamaan dengan nilai jualan tiket berjumlah RM14 juta.
Jelas beliau, keyakinan itu dizahirkan memandangkan setakat lima bulan pertama tahun ini, Melaka River Cruise telah merekodkan nilai jualan RM10 juta atau 82 peratus daripada sasaran keseluruhan yang ditetapkan.
“Walaupun jumlah pengunjung menunjukkan sedikit penurunan pada Mac dan April lalu berikutan faktor musim perayaan Aidilfitri serta peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada industri pelancongan, namun dengan pelbagai inisiatif dan promosi yang ditawarkan kita yakin sasaran yang ditetapkan mampu dicapai,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Perhimpunan Bulanan PPSPM Bagi Bulan Mei 2026 di Pejabat PPSPM, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda serta kakitangan PPSPM.
Tambah Shaharul Azuar, PPSPM turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada kakitangan sebagai usaha membantu meningkatkan jualan dan jumlah pengunjung.
“Kita mengambil kesempatan untuk menerangkan kepada kakitangan bahawa semua perlu bergerak bersama sebagai satu pasukan.
“Justeru, kita tetapkan sekurang-kurangnya setiap kakitangan membawa lima pengunjung setiap bulan. Sedikit sebanyak ia dapat membantu pihak pemasaran mencapai hasil jualan yang disasarkan.
“Industri pelancongan akan terkesan apabila jumlah pengunjung ke Melaka berkurangan dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


