‘Abang Viva’ tak pernah kejar populariti, hanya niat ikhlas membantu

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

GADEK 30 Dis – “Sebenarnya saya tidak ingat berapa ramai mangsa banjir diselamatkan, apa yang difikirkan hanya bawa seberapa ramai ke tempat selamat.

“Saya tidak dapat bayangkan jika keadaan sama berlaku kepada keluarga sendiri. Malah apa yang menyedihkan setiap kali bot penyelamat masuk ke kawasan banjir kami akan terdengar jeritan meminta tolong daripada mangsa,” itu kata Azwan Omar, 29.

Azwan yang kini dikenali ‘Abang Viva’ mula mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila ke Puchong, Selangor membantu mangsa banjir dengan hanya memandu Perodua Viva dan membawa sebuah bot angin.

Menurut Azwan, tindakannya untuk misi menyelamat mangsa banjir dibuat secara spontan dan langsung tidak menyangka dia masa 10 hari membantu mangsa banjir termasuk di Pahang.

“Apabila terbaca ramai yang terkandas dan perlu dikeluarkan dengan menggunakan bot, saya terfikir kenapa tidak saya ke sana untuk membantu menyelamatkan nyawa mereka sedangkan saya ada bot.

“Awalnya saya rancang hanya ke sana sehari sahaja dan selepas memaklumkan kepada emak, malam itu juga saya bertolak ke Puchong dan tiba lewat pagi,” katanya.

AZWAN menunjukkan enjin yang dibawa semasa menjalankan misi menyelamat mangsa banjir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dia yang bekerja sebagai pemandu jentera berat berkata, sepanjang misi menyelamat itu banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan meninggalkan kesan mendalam.

“Situasi itu getir, ramai terkandas dan terputus bekalan makanan. Saya tidak dapat lupa saat selamatkan bayi baru lahir bersama ibunya yang ketika itu berada di atas bumbung, mujurlah mereka tidak apa-apa.

“Malah turut menyentuh emosi apabila terpaksa pisahkan ahli keluarga kerana keutamaan ketika itu selamatkan anak kecil dan warga emas. Dalam keadaan sukar seperti itu mereka terpaksa berpisah,” katanya.

Mengulas lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia langsung tidak menyangka akan dikenali dan mendapat perhatian seperti sekarang kerana niatnya ikhlas membantu.

“Kalau dapat pusing masa tidak mahu jadi seperti ini kerana amanah serta kepercayaan yang diberikan orang ramai terlalu tinggi, saya bimbang tidak mampu membawanya.

“Jika diikutkan sumbangan saya ini tidaklah besar mana, hanya guna bot kecil kerana ada lagi yang banyak membantu, datang dari Pulau Pinang dan menyewa lori untuk membawa bot,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1272
Kongsi :
Previous post DUN Sg Udang: Mahkamah dengar bantahan awal pada Feb ini
Next post Ibu pesan ‘Abang Viva’ jangan lupa diri
Ubah saiz-+=