Ada emas di sebalik pasir

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PENGKALAN BALAK 7 Feb – Siapa sangka, disebalik pasir pantai sebenarnya tersembunyi pelbagai khazanah dan artifak bersejarah yang boleh membawa pulangan lumayan khusus buat pemburu emas.

Hobi popular dalam kalangan pemburu emas dan artifak seperti Mohd Fazly Jamaludin, 36, sebenarnya memerlukan kesabaran, selain persediaan mental dan fizikal yang tinggi serta bersedia untuk pulang dengan tangan kosong.

Katanya, setiap hujung minggu dia menghabiskan masa sekurang-kurangnya lima jam dibawah panas terik matahari berjalan sepanjang pantai untuk mengesan artifak berharga menggunakan alat pengesan logam (MD).

Dia memberitahu antara ‘lubuk artifak’ berharga di negeri ini adalah di Pantai Pengkalan Balak, Pantai Puteri dan sekitar Kuala Linggi.

“Tak ramai aktif atau minat hobi ini, jarang sangat ada di Malaysia, kami bergerak dalam kumpulan setiap kali turun untuk memburu artifak berharga.

“Telinga kena peka, kerana lain logam lain bunyinya. Kalau emas bunyinya kami sudah kenal memang menarik dan berbeza daripada yang lain,” katanya.

Mohd Fazly berkata, aktiviti itu juga bergantung kepada jadual pasang surut air laut dan bukan boleh dilakukan sesuka hati.

“Jika air surut sampai ke tengah kebarangkalian untuk menjejak emas atau harta karun lain tinggi, maknanya semakin ke tengah macam-macam boleh jumpa,” katanya.

Sejak 2015 dia berjaya menemukan pelbagai barang berharga seperti gelang, rantai dan cincin pelbagai bentuk yang disimpan sebagai koleksi peribadi.

Penemuan paling berharga dan dianggap membawa tuah bagi Mohd Fazly adalah sekeping syiling emas berukir gambar Ratu Elizabeth dipercayai dikeluarkan pada 1889 namun kelihatan masih elok.

Selain berjemur ditengah panas dia dan rakannya juga berdepan ancaman seperti buaya dan kebarangkalian dipatuk ular berbisa setiap kali menjalankan aktiviti itu.

“Kerana minat saya sanggup berbelanja RM4,000 untuk beli MD digunakan sekarang. Ada banyak jenis MD di pasaran harganya pula bergantung kepada kualitinya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3036
Kongsi :
Previous post Mesej tular sindiket culik dan jual organ adalah palsu – Polis
Next post MCMC: Jangan terpedaya sebaran tegah warga emas keluar mengundi pada PRN Johor
Ubah saiz-+=