AFC komited sokongan ahli gabungan bangkit hadapi impak COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR 22 Nov – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) komited menyokong ahli gabungannya bangkit membangunkan semula industri bola sepak seluruh benua khususnya bagi meringankan beban untuk menghidupkan peringkat belia dan pembangunan akar umbi susulan impak COVID-19.

Komitmen berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kelapan bagi penggal 2019-2023 di Manama, Bahrain, semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata semua aktiviti bola sepak berdepan cabaran kelangsungan industri disebabkan impak COVID-19 yang kini menuju ke fasa pemulihan dan seterusnya endemik.

“Sepanjang dua tahun ini industri bola sepak terjejas apabila pelbagai pertandingan berdepan penangguhan dan pembatalan, malah sesetengah negara hanya membenarkan separuh kapasiti stadium disebabkan kita mahu mengekang rantaian pandemik COVID-19.

“Apa yang pasti, pandemik ini jelas memberikan kesan kepada semua pihak dan bola sepak tidak terkecuali. Apapun AFC sentiasa memberi komitmen terbaik dalam memastikan kelangsungan bola sepak wanita, bola sepak pantai, futsal dan belia di setiap negara ahli gabungannya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook FAM hari ini.

Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC berkata mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan untuk memperkasa struktur pembangunan belia kategori bawah 20 dan 17 tahun selain membincangkan aspek pembangunan teknikal, pengadilan sudut komersial dan perkembangan terkini mengenai Piala Asia 2023 di China.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor John.

Sementara itu, Hamidin berkata AFC berpuas hati dengan persiapan Qatar dalam penganjuran Piala Dunia 2022 yang disifatkan sebagai sempurna, menjelang edisi kedua kejohanan berprestij itu di benua Asia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002.

“Qatar sudah sedia dari semua sudut, khususnya venue perlawanan yang siap sepenuhnya. Persiapan Qatar layak dipuji kerana segala-galanya sudah siap setahun awal,” katanya.

Piala Dunia 2022 di Qatar akan membuka tirai pada 21 Nov hingga 18 Dis tahun depan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

607
Kongsi :
Previous post Kita cari rakyat, bukan rakyat cari kita – Dr Akmal
Next post PM lancar Pas Keluarga Malaysia, galak penggunaan pengangkutan awam
Ubah saiz-+=