Kita cari rakyat, bukan rakyat cari kita – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 22 Nov – “Sebagai wakil rakyat kita perlu mencari masalah orang…bukan orang yang datang dan mengadu pada kita semata-mata”.

Itu prinsip yang ditekankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Saleh yang memilih lokasi kedai kopi bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi rakyat di negeri ini khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Kadang-kadang orang ni tak nak jumpa kita sebab segan dan takut, tapi bila kita pergi mencari mereka salah satu tempatnya adalah kedai kopi kerana di situlah rakyat lebih selesa mengadu lebih kurang ‘cerita di kedai kopi’.

“Pagi pun saya dah dapat dua ke tiga aduan masalah-masalah yang timbul di dalam kampung mereka dan saya akan terus berikan komitmen semua aduan mereka ini dan akan respon dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jelasnya, mengambil pendekatan turun ke kedai kopi sebagai hari pertama menjadi wakil rakyat sudah tentu lebih mudah untuk mencari masalah dihadapi rakyat.

“Setakat ini penerimaan masyarakat di DUN merlimau sangat baik, ini satu amanah dan tanggungjawab berat untuk saya lakukan, saya bukan yang terbaik tetapi saya akan cuba sehabis baik untuk Melaka khususnya untuk orang Merlimau,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Akmal berkata beliau memfokuskan tiga agenda untuk DUN tersebut khususnya memberi keselesaan kepada rakyat.

“Agenda pertama adalah fokus untuk projek tebatan banjir di Merlimau dilaksanakan dalam kadar segera, kedua membangunkan ekonomi penduduk seperti menaiktaraf infrastruktur.

“Dan ketiga fokus kesejahteraan dan kesihatan penduduk dengan mewujudkan sebuah pusat rekreasi untuk beriadah kerana kawasan ini tiada tempat untuk beriadah,” katanya.

Untuk rekod dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 Dr. Akmal memperoleh 5,633 undi menewaskan pencabar, Azrin Ab Majid daripada Pakatan Harapan (2,385 undi) dan Abdul Alim Shapie daripada Perikatan Nasional (1,622 undi).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post Sindiket Abang 888 seludup dadah ke negara jiran bernilai RM1.5 juta tumpas
Next post AFC komited sokongan ahli gabungan bangkit hadapi impak COVID-19
Ubah saiz-+=