Sindiket Abang 888 seludup dadah ke negara jiran bernilai RM1.5 juta tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 22 Nov – Helah sindiket menjadikan Melaka sebagai pusat transit pengedaran dadah antarabangsa berjaya dihidu selepas polis merampas 40 kilogram syabu bernilai RM1.44 juta di Jalan Pantai Puteri, 18 Nov lalu.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kontinjen Melaka menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun di sebuah inap desa di lokasi berkenaan pada jam 8 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam serbuan pihaknya menemui dadah yang dibungkus dalam plastik bungkusan teh herba seberat 40 kilogram dianggarkan bernilai RM1.44 juta.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan diletakkan di rumah berkenaan yang dijadikan transit sebelum diedarkan ke negara jiran.

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang bekerja sebagai seorang buruh telah menetap di Malaysia selama tiga tahun dan dipercayai terlibat dalam rekrut pengedaran dadah dengan menjadikan Melaka sebagai transit pengedaran sindiket itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini dan turut dihadiri Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid.

RAMPASAN sebanyak 40 kilogram disyaki dadah syabu yang bernilai RM1.44 juta dalam sindiket “abang 888” yang cuba menjalankan transaksi pengedaran dadah ke negara jiran, berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan turut mendapati sindiket ini mengubah taktik pengedaran dadah dengan tidak melibatkan orang tempatan sebaliknya mengupah pekerja asing sebagai keldai dadah.

“Kita percaya ini merupakan sindiket dari dalang yang sama sebelum ini kerana cara pembungkusan yang menggunakan plastik teh herba adalah sama,” katanya.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman selama tujuh hari hingga Khamis ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1042
Kongsi :
Previous post 37 kertas siasatan, 9 kompaun sepanjang tempoh PRN
Next post Kita cari rakyat, bukan rakyat cari kita – Dr Akmal
Ubah saiz-+=