Agong berangkat ke Majlis Munaqasyah Agama kali keempat di Istana Negara

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 9 Nov (- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri Di Bawah Naungan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke majlis itu pada 10 pagi disambut barisan kepimpinan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan serta agensi agama Islam serta para mufti negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka.

Negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka ialah Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub di bawah Perkara 3(2), 3(3) dan 3(5) Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Munaqasyah itu dianjurkan atas inisiatif dan cetusan idea Seri Paduka dengan tujuan utama bagi membincangkan dan memperhalusi isu hal ehwal Islam di negeri-negeri di bawah naungan Baginda serta memantapkan agensi agama di setiap negeri berkenaan.

Majlis hari ini adalah kali keempat seumpamanya dianjurkan bersama antara Istana Negara dan Jakim dengan kali pertama diadakan pada 20 Jun 2019, kedua pada 7 Okt 2019 dan ketiga pada 6 Feb tahun lepas.

Terdapat enam kertas kerja yang dipersembahkan kepada Seri Paduka iaitu Pengawalan Aliran Pemikiran Liberal dan Pengukuhan Pegangan Agama dalam Kalangan Masyarakat Bandar; dan Pemerkasaan Mahkamah Syariah Melalui Peningkatan Hieraki Mahkamah Kepada Empat Peringkat.

Selain itu, ialah kertas kerja berkaitan Kaedah Pelaburan Harta Zakat; Program iTEKAD: Memperkasa Sosioekonomi Ummah; Penggubalan Akta Profesion Guaman Syarie Bagi Pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan; dan Perpecahan Umat Islam Akibat Perbezaan dan Taksub Kepada Aliran Pemikiran Agama.

Rumusan daripada pembentangan kertas-kertas kerja itu akan dikemukakan oleh Seri Paduka ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-257 yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Nov ini. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

629
Kongsi :
Previous post Cabaran calon wanita muda beri khidmat terbaik di DUN Rim – Dira
Next post Unjuran keperluan pegawai perubatan tetap dikemuka kepada JPA, Kementerian Kewangan
Ubah saiz-+=