Aidilfitri cara Orang Asli Selandar

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ASAHAN 10 April – “Kami di sini sudah satu keluarga, walaupun berlainan agama tetapi sambutan hari raya kami semua raikan,” itu kata Jusnawati Amirudin Orang Asli dari Kampung Orang Asli Bukit Seraya, Selandar, di sini.

Jusnawati, 65, berkata, walaupun komuniti orang Islam di perkampungan itu hanya minoriti tetapi setiap daripada mereka saling menghormati dan faham antara satu sama lain.

Katanya, bagaikan sudah menjadi tradisi setiap pagi raya, penduduk kampung itu akan berkumpul di rumahnya untuk menikmati hidangan seperti rendang, lemang dan ketupat.

“Sambutan Aidilfitri di perkampungan ini sama seperti kampung lain, kami raikan bersama-sama tiada apa yang lain.

“Pada hari mantai saya memasak juadah dalam kuantiti yang banyak untuk dijamu kepada jiran tetangga. Sebaik selesai solat sunat Aidilfitri penduduk mula berkumpul di rumah untuk kami sama-sama menjamu selera,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut warga emas itu, meskipun perlu menyediakan makanan dalam skala yang banyak namun itu tidak menjadi halangan kerana dia berasa puas dapat berkongsi rezeki dengan jiran yang lain.

“Boleh katakan, rasa penat akan hilang apabila melihat tetamu yang datang ke rumah makan hidangan yang kita sediakan, selalunya sampai malam rumah akan dikunjungi penduduk kampung.

“Secara tidak langsung kita dapat rasakan amalan kunjung mengunjung di hari raya, walaupun berlainan agama tetapi saling meraikan itu yang memeriahkan sambutan Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

39
Kongsi :
Previous post Aidilfitri pupuk perpaduan
Next post Latih pelajar jadi usahawan
Ubah saiz-+=