Aidilfitri: KKM jangka Omicron dapat diturunkan sebulan dua lagi

PUTRAJAYA, 7 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan gelombang penularan Omicron dapat diturunkan sebulan atau dua bulan lagi sekali gus membolehkan sambutan Aidilfitri pada awal Mei depan tanpa sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia bergantung kepada pematuhan langkah pengawalan oleh rakyat termasuk mengambil dos penggalak dan mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.

“Ini semua tentang tingkah laku, saya tahu ramai risau tentang raya dan sebagainya, tetapi jika kita memainkan peranan penting, dapatkan dos penggalak, vaksin anak-anak, kita jangka akan dapat stabilkan pandemik dalam masa sebulan atau dua bulan lagi, kalau Omicron dapat diturunkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini (semalam).

Ia mungkin memberi kelegaan kepada orang ramai yang mula meluahkan kebimbangan tidak dapat menyambut Aidilfitri tahun ini disebabkan peningkatan mendadak kes COVID-19 akibat Omicron.

Pada 23 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya tahun ini.

Memberikan data mengenai penularan kes COVID-19 di beberapa negara lain, Khairy berkata peningkatan kes akibat Omicron bukan hanya berlaku di negara ini, tapi turut berlaku di beberapa negara seperti Singapura yang melaporkan lebih 13,208 kes baharu pada 4 Feb lepas, tiga kali ganda berbanding hari sebelumnya.

Pada 5 Feb, Korea Selatan pula melaporkan kes harian sebanyak 38,670 kes, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985 kes) dan Jepun 102,275 kes.

“Jadi gelombang Omicron, bukan hanya berada di Malaysia, bukan ‘konspirasi KJ’ untuk menafikan Hari Raya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy meluahkan keyakinan negara masih berada di landasan betul dalam menguruskan gelombang Omicron.

Tegasnya, peningkatan kes buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, walaupun negara kini berhadapan dengan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

Ini sebahagian besar disumbangkan oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi, katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

236
Previous post Banjir di Pitas, Sabah 719 terjejas
Next post KKM mantapkan penjagaan klinikal pesakit COVID-19, bakal mulakan penggunaan antivirus