KKM mantapkan penjagaan klinikal pesakit COVID-19, bakal mulakan penggunaan antivirus

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PUTRAJAYA, 7 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses memantapkan Kaedah Penjagaan Klinikal pesakit COVID-19 bagi tujuan memulakan ubat antivirus terkini yang akan diberikan kepada pesakit wabak itu yang berisiko tinggi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya ia akan diberikan kepada pesakit COVID-19 pada peringkat awal iaitu semasa mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.

Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini (semalam), Khairy berkata rawatan antivirus ini akan meliputi pesakit di klinik kesihatan, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke wad.

“Rawatan akan dimulakan setelah bekalan ubat antivirus tersebut tersedia,” katanya menambah KKM kini dalam proses memuktamadkan pembelian ubat antivirus berkenaan.

Mengenai pemberian dos penggalak, Khairy berkata sehingga kini terdapat lebih kurang 32 peratus atau sejuta warga emas masih belum mengambil dos penggalak.

“Risiko jangkitan COVID-19 yang teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas. Daripada 32,034 kematian sehingga 6 Feb, sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus melibatkan warga emas,” katanya.

Menurut Khairy, data harian juga menunjukkan individu yang belum divaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan kematian akibat COVID-19 berbanding individu yang telah lengkap divaksin atau telah mengambil dos penggalak.

Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan kes COVID-19 buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, meskipun negara kini berdepan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

“Ini sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi.

Atas langkah proaktif KKM, kita berjaya ‘memperlahankan’ ketibaan varian Omicron. Kawalan sempadan seperti penangguhan umrah (sebelum ini) merupakan langkah memperlahankan gelombang Omicron,” katanya.

Semalam, Malaysia telah melaporkan kes baharu COVID-19 sebanyak 10,089 kes, dan hari ini sebanyak 11,034 kes.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 adalah pada 2 Okt lepas iaitu 10,915 kes.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: KKM jangka Omicron dapat diturunkan sebulan dua lagi
Next post Empat pelajar perempuan USIM cedera, bas terbabas di Nilai
Ubah saiz-+=