Air sungai bertukar hijau, pengarah, pengurus kilang ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

JOHOR BAHRU, 1 Dis – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menahan pengarah dan pengurus sebuah kilang penyaduran logam di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini, untuk membantu siasatan susulan kejadian Sungai Selangkah yang bertukar menjadi warna hijau baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata dua lelaki iaitu pengarah berumur 50-an dan pengurus berumur 35 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung keadaan sungai itu pada Isnin lepas dan pemeriksaan susulan oleh JAS Cawangan Pasir Gudang mengesan pelepasan efluen berwarna hijau dari longkang kilang itu.

“Siasatan di dalam kawasan sistem rawatan efluen di kilang terbabit mendapati ia mengalami banjir dengan air berwarna hijau.

“Justeru, Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) telah dikenakan untuk menghentikan punca air bewarna hijau itu dan pihak kilang diarahkan mengambil tindakan pembaikan dan pembersihan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mohd Famey berkata persampelan efluen juga telah dijalankan dan sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Beliau berkata dua individu itu ditahan mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap Orang Yang Disyaki (OYDS) untuk siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Tiada alasan naikkan harga ais – PM Ismail Sabri
Next post Pengunjung Pantai Pengkalan Balak elak sesak hujung minggu
Ubah saiz-+=