Pengunjung Pantai Pengkalan Balak elak sesak hujung minggu

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 30 Nov – Laluan ke Pantai Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, di sini yang sesak pada hujung minggu menyebabkan orang ramai terpaksa mencari waktu senggang pada awal minggu untuk mengunjunginya.

Bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di jalan pantai yang sempit, mereka terpaksa memanfaatkan hari bukan cuti hujung minggu untuk menikmati keindahan pantai berkenaan.

Bagi Tahir Mohamad, 58, yang datang dari Petaling Jaya, Selangor, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sebelum ini menyebabkan dia lebih berhati-hati memilih waktu untuk mengunjunginya.

“Saya berasal dari sebuah kampung di daerah Masjid Tanah tetapi sudah berhijrah ke Petaling Jaya sejak 30 tahun lalu dan pernah mengunjungi pantai ini pada hujung minggu sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di laluan tepi pantai, seolah-olah saya memandu di Kuala Lumpur dan bagi mengelakkannya, saya mengambil kesempatan cuti bukan hujung minggu untuk hadir di sini,” katanya ketika ditemui di pantai Pengkalan Balak.

TAHIR (dua dari kanan) dan anggota keluarganya serta keluarga kakaknya beristirahat di pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
Foto Din Ahmad

Tahir, isteri dan cucu serta keluarga kakaknya berserta cucu mereka mengunjungi pantai berkenaan semata-mata untuk menghirup udara segar dan nyaman di pantai bersih dan indah tanpa perlu melalui laluan yang sesak dengan kenderaan.

Kakak Tahir, Norimi, 60, berkata dia tidak mahu mencadangkan kepada saudara-mara atau rakannya untuk mengunjungi pantai berkenaan pada hujung minggu kerana ia amat sesak dengan kenderaan.

“Bukan mudah untuk mencari tempat letak kenderaan di pantai ini pada Sabtu dan Ahad kerana kenderaan dari luar Melaka penuh di semua tempat,” katanya.

Dia berkata, walaupun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Balak sudah menyusun laluan sehala di laluan pantai, ia tidak dipatuhi pemandu kenderaan, sekali gus menyebabkan laluan itu sesak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2145
Kongsi :
Previous post Air sungai bertukar hijau, pengarah, pengurus kilang ditahan
Next post Jangan segan untuk kembali sokong BN
Ubah saiz-+=