Jangan segan untuk kembali sokong BN

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 1 Dis – “Jangan segan dan usah malu untuk kembali menyokong BN kerana itu juga suatu jasa dan pengorbanan demi masa depan,” itu kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, rakyat perlu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali sebagai teras pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dan Malaysia mempunyai sebab munasabah untuk meyakini BN selepas lebih tiga tahun sejak PRU Ke-14 lalu.

Ahmad Zahid berkata, seruan mengembalikan kemakmuran bersama kerajaan BN bukan retorik sebaliknya berdasarkan kebenaran yang disaksikan rakyat Malaysia sejak 9 Mei 2018.

“Kerajaan BN adalah kerajaan paling berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman untuk mentadbir serta membawa kemakmuran.

“Rakyat Melaka sudahpun menjayakan misi itu pada 20 November lalu dan harapan seterusnya kini pada bahu rakyat di negeri yang lain,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, rumusan terpenting mengenai segala-segalanya adalah perjalanan negara sejak merdeka sudah membuktikan kerajaan BN adalah kerajaan paling berkaliber.

“(BN) Paling berkaliber dalam memastikan pentadbiran ekonomi yang cemerlang, kestabilan yang terbilang dan kesejahteraan rakyat yang gemilang.

“Maka apabila tiba masanya kita bersama memastikan sejarah hitam PRU-14 tidak berulang dan mengembalikan sebuah kerajaan rakyat iaitu kerajaan BN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

850
Kongsi :
Previous post Pengunjung Pantai Pengkalan Balak elak sesak hujung minggu
Next post Dr Akmal, serah jiwa raga buat rakyat Melaka
Ubah saiz-+=