Ajal sehari sebelum Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 9 April – Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tanjung Minyak – Bukit Rambai, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, yang menunggang motosikal Yamaha Y15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang beralamat di Pantai Kundor, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan maut itu membabitkan sebuah motosikal dan kereta yang dipandu seorang pelajar universiti berusia 22 tahun.

“Sebelum kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Bukit Rambai menghala ke Tanjung Minyak manakala kereta Honda City pula dari arah bertentangan.

“Semasa melalui lokasi kejadian kereta dipandu penuntut universiti itu dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya.

Menurutnya, akibat pertembungan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan cedera dibeberapa bahagian badan lain.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala pemandu kereta dilaporkan hanya terseliuh tangan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,” katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan polis turut mengesan saksi bebas yang ada di lokasi ketika kemalangan berlaku.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 19 saat menunjukkan seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung di lokasi kejadian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

441
Kongsi :
Previous post MPJ didik masyarakat cara pengurusan sisa
Next post Rumah Terbuka DUN Paya Rumput pada 11 April
Ubah saiz-+=