Rumah Terbuka DUN Paya Rumput pada 11 April

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

PAYA RUMPUT 9 April – Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri pada 11 April (Khamis) iaitu pada hari raya kedua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, sama seperti tahun lalu, penganjuran itu akan diadakan di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong, bersebelahan Stadium Hang Jebat.

Menariknya tahun ini, rumah terbuka itu dianjurkan bersama kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka, selain turut menampilkan persembahan artis terkenal tanah air, Tomok.

“Insya-Allah, pelbagai jenis menu hari raya akan dihidangkan kepada tetamu yang hadir, selain persembahan istimewa artis jemputan dan kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Majlis akan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri DUN Paya Rumput di Dewan MBMB Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, di sini, semalam.

Menurut Rais, pemilihan Dewan Komuniti Krubong sebagai lokasi penganjuran adalah disebabkan kawasan parkirnya yang lebih luas, selain memudahkan akses orang ramai yang mahu datang ke majlis berkenaan.

“Jadi, saya menjemput semua rakyat Melaka ke majlis ini bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
Kongsi :
Previous post Ajal sehari sebelum Aidilfitri
Next post Beli di bazar lebih puas hati, banyak diskaun saat-saat akhir
Ubah saiz-+=