Beli di bazar lebih puas hati, banyak diskaun saat-saat akhir

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KLEBANG 9 Mac – Pembelian kelengkapan raya menerusi platform e-dagang dilihat menjadi trend masa kini sehinggakan ada yang menganggap penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri sudah tidak relevan.

Namun, berbeza di Melaka apabila rata-rata orang ramai tetap memilih bazar sebagai lokasi pembelian pakaian raya untuk seisi keluarga.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 di Dataran Klebang mendapati, suasana meriah tetap dirasai apabila ribuan pengunjung mengambil peluang berbelanja pada saat-saat akhir sebelum tibanya Syawal.

Seorang pengunjung yang ditemui, Muhammad Zulhafifi Mohd Zahir, 26, berkata, bazar masih menjadi pilihannya dan isteri, Norhashima Hashim kerana mempunyai lebih banyak pilihan.

Dia yang merupakan pemandu lori menetap di Bemban, Jasin berkata, membeli belah di bazar juga dapat menaikkan ‘mood’ raya kerana dapat merasai kemeriahan suasana orang ramai tatkala membeli belah dan tawar menawar bersama penjual.

“Saya lebih memilih pembelian secara fizikal di bazar kerana ia lebih mudah untuk saya melihat saiz yang ditawarkan, selain boleh memilih material yang diingini.

“Pada saya, harga di sesetengah bazar juga masih munasabah kerana boleh tawar menawar selain banyak diskaun diberikan terutamanya pada saat-saat akhir,” katanya.

Turut senada, seorang suri rumah dari Selandar, yang mengakui sudah tiga kali berkunjung ke bazar bagi membeli baju raya untuk keluarganya.

“Setiap bazar menawarkan harga yang berbeza, namun sebagai pengguna, kita perlu bijak memilih tawaran terbaik.

“Alhamdulillah setakat ini saya puas hati dan seronok kerana dapat merasai kemeriahan berbelanja di bazar pada saat-saat akhir,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada empat anak, Marzuki Omar, 42, berkata, pembelian pada saat akhir di bazar lebih menguntungkan kerana pembeli dapat menikmati lebih banyak diskaun menarik yang ditawarkan.

Walaupun, terpaksa bersesak-sesak, namun dia yang juga pekerja swasta tidak menganggapnya sebagai penghalang kerana suasana kemeriahan itu hanya dirasai sekali dalam setahun.

“Membeli di bazar juga banyak pilihan yang kena dengan mata kita. Saya sendiri datang ke bazar ini sebanyak tiga kali untuk ‘survey’ harga dan seterusnya apabila dapat gaji dan bonus barulah membuat pembelian yang bersesuaian dengan poket kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

53
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka DUN Paya Rumput pada 11 April
Next post Kongsi rezeki jual ‘Lemang Rahmah’ RM7
Ubah saiz-+=