Kongsi rezeki jual ‘Lemang Rahmah’ RM7

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KESIDANG 9 April – “Selain bersedekah niat saya supaya semua orang dapat menjamu lemang pada hari raya,” itu kata peniaga lemang Samsudin Ishak.

Samsudin, 42, mengambil inisiatif menjual lemang dengan harga Rahmah serendah RM7 khususnya untuk mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, sepanjang 20 tahun berniaga lemang dia sedar ada di antara penggemar makanan tradisi itu yang tidak dapat merasainya kerana tidak mampu.

“Untuk jualan harga Rahmah RM7 ini saya tawarkan selama tiga hari bermula Isnin sehingga hari raya pertama.

“Untuk lemang Rahmah ini saiznya 18 inci, bagi saya bersesuaian dengan harga. Bagi tawaran ini saya sediakan sebanyak 500 batang,” katanya ketika ditemui di gerai Lemang B40 di Kampung Limbongan, di sini.

Menurut Samsudin, tawaran harga serendah RM7 itu pertama kali dibuatnya pada tahun ini juga kerana melihat keadaan ekonomi sekarang.

“Sebelum ini paling rendah saya jual lemang pun RM10 sebatang tetapi tahun ini kita cuba bantu orang ramai dan berkongsi rezeki.

“Selain lemang Rahmah, saya turut menjual lemang biasa yang berharga antara RM12 hingga RM20 bergantung kepada saiz,” katanya.

Jelasnya, melihat kepada permintaan sejak semalam, lemang Rahmah dijualnya itu mendapat sambutan dan sekiranya masih ada permintaan dia akan melanjutkan tawaran itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post Beli di bazar lebih puas hati, banyak diskaun saat-saat akhir
Next post Keprihatinan MAIM ukir senyuman asnaf
Ubah saiz-+=