pisau-berdarah-alat-pembunuhan-1-1280x720

Akibat tukar siaran televisyen, bapa tergamak kelar leher anak

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Seorang bapa sanggup mengelar leher anak lelakinya sehingga mati di kediaman mereka di Jalan Kemudi, Bernam Jaya, Hulu Bernam, dekat sini, semalam selepas bertengkar akibat menukar siaran televisyen.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata lelaki berusia 71 tahun itu, mengelar leher anaknya  yang berumur 37 tahun sebanyak tiga kali menggunakan pisau yang diambil di dapur, selepas menolak mangsa sehingga jatuh semasa pertengkaran itu.

Katanya selepas kejadian tersebut suspek membuat laporan polis pada 12.55 tengah hari itu, mendakwa anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah akibat luka di leher di ruang tamu rumah mereka, selepas pulang dari kedai.

Beliau berkata siasatan polis mendapati terdapat kesan kelar yang dalam pada leher mangsa yang dilakukan pihak ketiga dan bukannya bunuh diri.

“Suspek kemudian mengaku telah mengelar mangsa serta ditahan untuk siasatan, selain polis turut merampas sebilah pisau, sehelai baju dan seluar yang dipakai suspek.

“Sewaktu kejadian itu berlaku, hanya suspek dan mangsa berada di dalam rumah, manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif malah suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Arsad berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek direman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

45
WhatsApp Image 2021-11-04 at 1.41.56 PM Previous post Mohon PAS perjelas istilah ‘tarik diri’ – Rauf
WhatsApp Image 2021-11-04 at 12.28.58 PM Next post Tolak ‘katak’ politik, PH terima pandangan semua pihak