Mohon PAS perjelas istilah ‘tarik diri’ – Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

MASJID TANAH 4 Nov – PAS perlu memperjelaskan istilah menarik diri yang dilontarkan sebelum ini sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, hal itu penting bagi mengelakkan sebarang isu di kemudian hari, terutamanya jika salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk mencabar BN di sesuatu kawasan.

Bagaimanapun katanya, beliau mengalu-alukan pandangan Pesuruhjaya PAS Melaka untuk tidak mengambil bahagian sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, jika PAS berpendirian sebagaimana disebutkan itu, keputusan itu memberi kelebihan kepada kedua-dua parti sama ada Perikatan Nasional (PN) atau BN.

“Sesungguhnya kalau PAS menterjemahkan apa yang dilontarkan dalam isu pertandingan tiga penjuru ini adalah amat baik, tetapi sejauh mana (ia) dilaksanakan seharusnya diterjemahkan dalam penamaan calon nanti.

“Sekiranya PAS ingin menyuarakan rasa kebersamaan dalam lontaran diberi, kalau ada tiga penjuru dimana kawasan penyandang dipertandingkan PAS akan menarik diri daripada gabungan atau pertandingan itu, terserah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pendirian PAS itu dilihat tidak jelas melibatkan gabungan PN.

“Tidak guna juga dia (PAS) kata tarik diri, tapi rakan (komponen PN) dia bertanding dengan kita (UMNO), jadi kita kena tengok bagaimana terjemahan penarikan ini diberikan seterangnya penjelasan.

“Sama ada PN tarik diri atau PAS yang tarik diri, itu perlu diperjelaskan kita pun tak faham,” katanya lagi.

Sebelum ini, MHI melaporkan PAS Melaka mengambil pendirian tidak menyokong sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek dilaporkan berkata, pihaknya akur dengan keputusan PAS Pusat yang memutuskan penggunaaan logo PN pada PRN itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post Jentera BN seluruh negara turun padang bantu PRN Melaka
Next post Akibat tukar siaran televisyen, bapa tergamak kelar leher anak
Ubah saiz-+=