Amaran peniaga sorok barang

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 22 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi amaran kepada peniaga di negeri ini agar tidak mengambil kesempatan menyorok bekalan makanan.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pihaknya sedang mengenal pasti golongan peniaga terbabit dan siasatan sedang dijalankan sebelum tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka.

Menurutnya, ia susulan daripada banyak aduan yang diterima daripada orang awam mengenai tindakan tidak bertanggungjawab peniaga terbabit menyorok barangan keperluan.

“Kita sudah kenal pasti peniaga berkenaan dan siasatan terhadap mereka sedang dijalankan sebelum tindakan kompaun diambil ke atas mereka pada masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Ismail memperkatakan sesuatu mengenai pengagihan barangan keperluan kepada mangsa banjir di PPS SMK Tun Mutahir Sungai Putat sambil diperhatikan oleh Norena (dua dari kanan)

Menurutnya, peniaga terlibat tidak seharusnya melakukan tindakan tersebut kerana ia jelas menyusahkan pengguna terutama melibatkan barangan keperluan asas.

Pada masa yang sama, katanya, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu menyalurkan aduan berhubung salah laku peniaga sama ada kegiatan sorok barang atau melaporkan mengenai kenaikan harga barang.

Aduan boleh disalurkan pada talian 06-234 5822 atau email [email protected], watapp 019- 279 4317 atau hadir di pejabat KPDNHEP negeri.

Terdahulu, KPDNHEP negeri mengambil inisiatif mengagihkan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung dan gula kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir Sungai Putat semalam.

Kira-kira 20 anggota agensi itu terlibat mengagihkan barangan keperluan kepada mangsa banjir menerusi program Food Bank KPDNHEP yang disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ismail Othman.

Selain barangan keperluan, bantuan baju baharu dan terpakai turut disalurkan kepada mangsa banjir di semua PPS terlibat di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post BISTARI ziarah keluarga Allahyarham Mohd Diya
Next post Bahang PRN: Tempahan bilik Ames Hotel & MetraSquare penuh
Ubah saiz-+=