
AMMTC: 24 AGENDA ASEAN DIBINCANGKAN, JENAYAH SIBER ANTARA FOKUS UTAMA
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berkata, contoh paling ketara ialah Singapura yang merekodkan kerugian hampir RM500 juta akibat penipuan dalam talian dalam tempoh setahun, sekali gus mendorong negara anggota ASEAN memperkukuh kerjasama strategik termasuk pertukaran maklumat risikan.
“Isu ini semakin membimbangkan dan menjadi antara fokus utama selain penyeludupan dadah. Negara anggota juga bersetuju memperhebat kerjasama rentas sempadan bagi membendung jenayah dalam talian,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu menghimpunkan 12 ketua delegasi bertaraf menteri termasuk Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, manakala Timor Leste hadir sebagai pemerhati.
Selain penipuan dalam talian, mesyuarat turut membincangkan 24 agenda lain termasuk pengubahan wang haram dan penyeludupan manusia.
Menurut Awang Alik, mesyuart juga memperakui Pelan Tindakan Memerangi Jenayah Rentas Sempadan 2026-2035 serta enam deklarasi utama yang akan diangkat ke mesyuarat pemimpin ASEAN, katanya.
Selain itu, mesyuarat turut mendengar pembentangan daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Institut Pencegahan Jenayah Asia serta syarikat teknologi META.
Sesi pleno turut disusuli pertemuan dua hala antara Malaysia dan rakan strategik termasuk Vietnam serta Sekretariat ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam penyelarasan dasar, perundingan dan tindakan strategik bersama.
AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 12 Sept diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan komitmen Malaysia untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.