
AMMTC KE-19 PROMOSI MELAKA RIVER CRUISE SEBAGAI IKON PELANCONGAN ANTARABANGSA
BANDARAYA MELAKA 10 September – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) berbesar hati apabila menjadi antara lokasi pilihan delegasi termasuk Menteri-Menteri ASEAN untuk menikmati keindahan Sungai Melaka dengan Melaka River Cruise.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, pengalaman menelusuri Sungai Melaka dengan Melaka River Cruise itu adalah antara program sampingan yang dijadualkan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 yang berlangsung selama lima hari bermula 8 September lalu.
“Di pihak PPSPM kami amat berbesar hati apabila Melaka River Cruise terpilih sebagai penganjur bersama untuk program sampingan ini.
“Seramai kira-kira 200 delegasi termasuk Menteri ASEAN bersama isteri masing-masing meluang masa menaiki bot dan menelusuri Sungai Melaka sambil menikmati air kelapa.
“Selepas selesai menaiki Melaka River Cruise kesemua delegasi termasuk Menteri ASEAN dijamu durian dan makan malam di atas Restoran Terapung Mendam Berahi,” katanya ketika ditemui di Pejabat PPSPM Pengkalan Rama, hari ini.
Turut bersama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Shaharul Azuar, penganjuran bersama itu secara tidak langsung memberi peluang kepada PPSPM khususnya Melaka River Cruise memperkenalkan produk pelancongan Melaka sekali gus mengukuhkan hubungan antara negara anggota ASEAN.
“Mereka juga menaiki empat bot yang siap dibalut dengan tema Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan sambutan yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 September ini.
“Program sampingan ini juga dianggap sebagai platform terbaik mempromosikan Sungai Melaka khususnya Melaka River Cruise sebagai ikon pelancongan antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.