Anak pemandu e-hailing Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 11 November – Pengorbanan bapa bekerja sebagai pemandu e-hailing bagi menyara keluarga menjadi pembakar semangat bagi pemuda ini untuk belajar dengan tekun sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-18, baru-baru ini.

Penyampaian anugerah kepada Iszuzuldin Amirull Mohd Janudin, 25, disempurnakan Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam dan disaksikan Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik) itu berkata, kesukaran ayah bekerja keras siang dan malam menyedarkannya untuk terus belajar bersungguh-sungguh sehingga cemerlang dengan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.60.

Bapanya, Mohd Janudin Salleh, 57, bergantung kepada pendapatan sebagai pemandu e-hailing bagi menyara keluarga dan membesarkan mereka tiga beradik, manakala ibu, Noraisah Ahmad, 50, suri rumah sepenuh masa.

Bagi mencapai kejayaan Iszuzuldin Amirull sentiasa berfikiran positif, berkeyakinan tinggi dan percaya pada kemampuan diri selain serta memperbanyakkan ibadat dan doa.

“Bagi mencabar diri saya kerap mengambil bahagian dalam pertandingan berimpak tinggi yang berkaitan dengan bidang pengajian.

“Cara belajar yang sistematik dan mengulang kaji bersama rakan sekuliah juga membantu saya meraih kejayaan ini,” katanya.

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Melaka antara 3,149 graduan yang menerima diploma, ijazah, ijazah sarjana dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada majlis membabitkan enam sesi berlangsung tiga hari.

WhatsApp Image 2022-11-10 at 5.45.37 PM
ISZUZULDIN Amirull (kiri) dan Chi Yuan menjadi dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-18, baru-baru ini.

Pada majlis sama, Ng Chi Yuan, 24, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik yang mencapai PNGK 3.78 turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Chi Yuan yang berasal dari Kedah melahirkan rasa gembira kerana usahanya sepanjang menuntut di UTeM membuahkan hasil.

“Kita perlu percaya pada diri sendiri, menetapkan matlamat yang tinggi dan sentiasa berusaha tanpa perlu bimbang dengan hasilnya nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3467
Kongsi :
Previous post Kehadiran Ahmad Zahid suntik semangat calon, jentera Hang Tuah Jaya
Next post Nasib nelayan diberi keutamaan
Ubah saiz-+=