Anak Serow tarikan terbaharu Zoo Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Anak kambing gurun jantan yang berusia 22 hari kini menjadi tarikan terbaharu di Zoo Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, anak kambing berkenaan dari spesis Sumatran Serow atau Capricoris Sumatraensis itu adalah kelahiran pertama daripada baka induk, selepas kira-kira 15 tahun berada di Zoo Melaka.

Beliau berkata, buat waktu ini anak kambing gurun jantan itu belum diberi nama dan sehubungan itu pihak Zoo Melaka menganjurkan Pertandingan Menamakan Anak Serow bagi memberi nama kepada haiwan berkenaan.

“Program ini akan berlangsung selama sebulan bermula hari ini (1 Julai) dan rakyat Malaysia terutamanya warga Melaka boleh mengambil bahagian menamakan anak gurun itu dengan nama bersesuaian.

“Pemenang yang terpilih akan memenangi 10 tiket percuma masuk ke Zoo Melaka masing-masing lima untuk dewasa dan lima kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Pertandingan Menamakan Anak Kambing Gurun yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman dan Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis serta Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd Hasdi Husin.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafar berkata, spesis kambing gurun itu termasuk empat induk hanya terdapat di Zoo Melaka.

“Haiwan mamalia itu yang hanya boleh didapati di Selatan Thailand dan Indonesia adalah spesis yang dilindungi sepenuhnya dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Selain Sumatran Serow, di Zoo Melaka terdapat 168 spesis haiwan dengan jumlah lebih 630 ekor yang menjadi tarikan kepada pengunjung,” katanya.

Views:

800
Kongsi :
Previous post AADK terima lebih 70 peratus aduan ahli keluarga ‘lalok’
Next post Komunikasi dua hala penting dalam misi T.E.R.A.S
Ubah saiz-+=