AADK terima lebih 70 peratus aduan ahli keluarga ‘lalok’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka menerima lebih 70 peratus aduan orang awam berhubung kes penyalahgunaan dadah melibatkan ahli keluarga sendiri sejak 18 Mac lalu, iaitu sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Pengarah AADK Melaka, Nazir Mohamad berkata sepanjang tempoh PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihaknya menerima sebanyak 129 aduan membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

Katanya, kira-kira 72 peratus daripada semua aduan yang diterima adalah berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga sendiri, manakala selebihnya terdiri daripada jiran dan orang awam.

“Contohnya, ada satu kes yang ditahan di Pantai Kundur minggu lalu mendapati suspek lelaki positif dadah jenis opiat dan ditahan daripada aduan ahli keluarganya.

“Dalam kes berkenaan, isteri suspek ditahan tahun lalu membabitkan kes dadah dan masih dalam tahanan.

“Dalam kebanyakan kes, ada ahli keluarga minta mereka ini ditempatkan di pusat pemulihan dan kalau ikut keadaan kes, mereka akan diberi pengawasan di pusat pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas beberapa serbuan dibuat di lokasi berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Nazir berkata, sejak bermulanya PKP kira-kira empat bulan lalu sehingga malam tadi, seramai 215 individu berusia antara 15 hingga 69 tahun telah ditahan dan didapati positif dadah jenis methamphetamine serta opiat.

“Daripada jumlah itu, Daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah tangkapan paling ramai iaitu seramai 103 orang, diikuti Alor Gajah 98 orang dan Jasin seramai 14 orang,” katanya.

Views:

413
Kongsi :
Previous post Terkencing diserbu AADK
Next post Anak Serow tarikan terbaharu Zoo Melaka
Ubah saiz-+=