Anak udang galah bantu jana pendapatan komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER LIMAU 22 Mac – Inisiatif Jabatan Perikanan melepaskan 35,000 anak udang galah di Sungai Siput mampu meningkatkan sosio ekonomi terutama menjana pendapatan sampingan kepada penduduk kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Siput, Husin Ahmad, 64, berkata anggota komuniti kampung itu yang kebanyakannya bekerja dalam sektor pertanian dan penternakan menyambut baik usaha berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan adanya usaha Jabatan Perikanan melepaskan anak udang galah ke dalam sungai, dapatlah kami memancingnya untuk dijadikan sumber pendapatan sampingan.

“Sekilogram udang galah dijual pada harga RM70 dan ia membantu menambah pendapatan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Husin Ahmad, 64. Foto Din Ahmad

Terdahulu, pelepasan anak udang galah itu disempurnakan Pengarah jabatan itu, Mohd Fauzi Salehon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Pelepas hidupan marin itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan anak udang galah dilepaskan ke dalam sungai di negeri ini sebanyak dua juta sejak lima tahun lalu.

Antara jenis ikan berkenaan ialah lampam, puyu, keli bunga, keli kayu dan baung manakala spesis ikan yang tidak dilepaskan kerana berbahaya dan mengancam ikan asli ialah baung ekor merah.

Zulfan Mohd Nasir, 57. Foto Din Ahmad

Sementara itu, Sidang Kampung Sungai Siput, Zulfan Mohd Nasir, 57, berkata usaha berkenaan secara tidak langsung menarik lebih ramai kaki pancing dari luar untuk ke kampung itu.

“Sekarang kebanyakan kaki pancing memilih Kampung Paya Lebar dan Sungai Timun untuk memancing udang galah tetapi dengan adanya usaha sedemikian, insya-Allah mereka akan memilih Kampung Sungai Siput pula.

“Ia memberi peluang kepada anak kampung untuk menyewakan perahu kepada kaki pancing dari luar, terutama dari Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd Fauzi Salehon menjelaskan, pelepasan sumber perikanan dan udang galah sejak 2016 hingga tahun lalu itu bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan sungai dan memajukan kegiatan memancing untuk rekreasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1033
Kongsi :
Previous post Sultan Johor rasmi loji janakuasa komersial pertama di dunia guna turbin gas teknologi paling cekap
Next post Sambutan Hari Seniman hargai sumbangan P.Ramlee, seniman negara
Ubah saiz-+=