Sultan Johor rasmi loji janakuasa komersial pertama di dunia guna turbin gas teknologi paling cekap

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan merasmikan Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG) di Pasir Gudang, dekat sini, yang merupakan loji janakuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap.

Dimasyhurkan sebagai Sultan Ibrahim Power Plant, loji janakuasa berkenaan mampu menghasilkan 60 peratus tenaga elektrik dan kecekapan turbin gas berteknologi tinggi itu pula boleh menyumbang kepada pengurangan jejak karbon.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini, SPG berkenaan yang dibina dengan kos RM4.7 bilion itu telah siap sepenuhnya dan memulakan operasi komersial pada 1 Jan, 2021.

Pembinaan SPG itu yang merupakan gabungan usaha sama antara Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan SIPP Energy Sdn Bhd, dijangka menjadi satu mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air.

“Dengan beroperasinya stesen ini, ia secara tidak langsung merancakkan dan menggalakkan lagi usaha pelaburan dari dalam dan luar negara.

“Stesen ini juga menyediakan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik yang mencukupi, berdaya harap serta stabil, sekali gus mampu menyakinkan pelabur untuk mengeluarkan modal menjalankan perniagaan di Johor,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, TNB dalam satu kenyataan berasingan berkata Sultan Ibrahim menghabiskan masa kira-kira sejam di stesen berkenaan yang merupakan loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan turbin gas 9HA.02 terbaharu dan berteknologi paling cekap dihasilkan oleh General Electric (GE).

“Sultan Ibrahim Power Plant menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada Grid Nasional menerusi dua loji janakuasa turbin gas kitar padu (Combined Cycle Gas Turbine), masing-masing berkapasiti 720 MW mulai awal 2021.

“Ia menjadi satu daripada mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air dengan mengukuhkan lagi kapasiti penjanaan di Semenanjung Malaysia kepada 26,744.8 MW,” tambah TNB.

Syarikat utiliti itu berkata penjanaan tenaga dengan kaedah kitar padu Sultan Ibrahim Power Plant ini adalah teknologi alternatif mesra alam yang selaras dengan aspirasi TNB dalam mementingkan pembangunan mampan dan keharmonian alam.

Sultan Ibrahim Power Plant, yang dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh anak syarikat TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (Remaco), juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Plant of the Year 2021 oleh penerbitan industri penjanaan kuasa antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, POWER Magazine pada Julai 2021.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1131
Kongsi :
Previous post KKM keluarkan kompaun kepada Lim Kit Siang – Khairy
Next post Anak udang galah bantu jana pendapatan komuniti
Ubah saiz-+=