
MELAKA MAHU LAHIRKAN LEBIH RAMAI GENERASI BERILMU
AYER KEROH 23 Mei – Pelbagai inisiatif kearah kecemerlangan akademik anak Melaka dilaksanakan Kerajaan Negeri ketika ini bukan sekadar untuk menghasilkan graduan yang menggenggam diploma atau ijazah semata-mata.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sesuai dengan peredaran zaman, misi utama Kerajaan Negeri adalah melahirkan insan yang berilmu dan berkemahiran yang mampu menjadi pewaris kepimpinan pada masa hadapan.
Katanya, mengikut rekod semasa sebanyak 41 institusi pengajian tinggi (IPT), universiti dan kolej beroperasi di Melaka, berikutan itu amat rugi jika tidak dimanfaatkan bagi meningkatkan lagi tahap kecemerlangan akademik anak negeri ini.
“Hasil kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam melihat kecemerlangan akademik anak Melaka seramai 76,510 graduan berjaya dilahirkan bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Berdasarkan pencapaian membanggakan itu Kerajaan Negeri meletakkan sasaran baharu iaitu melahirkan lebih 85,000 orang graduan dalam pelbagai bidang pada tahun-tahun mendatang.
“Insya-Allah menerusi perancangan, kerjasama daripada agensi dan jabatan berkaitan, saya yakin usaha untuk melahirkan generasi berilmu di Melaka mampu menjadi kenyataan,” katanya pada Podcast Mana Lagi, Melaka Ler di Studio Melaka TV.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, pendidikan turut diletakkan dalam Flagship 6 Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 iaitu menyediakan pendidikan berkualiti serta melahirkan modal insan kreatif dan berkebolehan.
“Setiap tahun kita membuat pengukuran pencapaian pendidikan dan alhamdulillah prestasi pelajar di Melaka terus meningkat termasuk gred purata negeri.
“Lebih membanggakan, 10 sekolah agama di Melaka turut mencatat keputusan SPM 100 peratus selain semakin ramai pelajar memperoleh keputusan mumtaz,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

