Sorting by

×

MELAKA JADI ‘WAJAH’ FILEM KONSPIRASI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Mei – Keindahan dan keunikan Negeri Melaka mendapat perhatian industri perfileman tanah air apabila dipilih sebagai antara lokasi penggambaran filem aksi ‘thriller’ Konspirasi, naskhah tempatan arahan Ghaz Abu Bakar.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, pihaknya mewakili Kerajaan Negeri berbesar hati dan menghargai kepercayaan diberikan oleh pasukan produksi filem itu yang memilih Melaka sebagai lokasi penggambaran.

Menurutnya, kerjasama bersama produksi filem itu secara tidak langsung membuka peluang untuk memperkenalkan lagi sektor pelancongan negeri, khususnya produk pelancongan ikonik Melaka River Cruise yang menjadi tulang belakang industri pelancongan Melaka.

“Terima kasih khususnya kepada pasukan produksi filem Konspirasi kerana memilih Melaka sebagai salah satu lokasi lakonan mereka.

“Apabila ditawarkan daripada pihak produksi untuk bekerjasama dengan kita, ia peluang terbaik untuk terus memperkenalkan produk pelancongan negeri kepada masyarakat luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Tayangan Amal Konspirasi di AEON Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda serta barisan pelakon utama filem itu termasuk Datuk Adi Putra, Hisham Hamid dan Shiqin Kamal.

Tambah Shaharul Azuar, beberapa babak filem berkenaan menjalani penggambaran di sepanjang Sungai Melaka dan proses tersebut berjalan lancar meskipun melibatkan beberapa aksi mendebarkan.

“Terdapat juga beberapa aksi mencabar dan mendebarkan sepanjang penggambaran, namun semuanya berjalan dengan baik.

“Jadi kalau nak lihat sendiri hasil penggambaran di Melaka, orang ramai boleh datang ke pawagam dan menonton filem ini,” katanya.

Tayangan amal berkenaan dianjurkan PPSPM dengan kerjasama ELEPFILM menerusi Kelab PPSPM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA KEMUDAHAN PINJAMAN PERUMAHAN BANTU B40