Sorting by

×

MELAKA SEDIA KEMUDAHAN PINJAMAN PERUMAHAN BANTU B40

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Mei – Dana Hartanah Bumiputera (DHB) yang disediakan Kerajaan Negeri menerusi Melaka Finance House (MFH) merupakan antara inisiatif bagi membantu golongan B40 mendapatkan akses pembiayaan perumahan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFH Nazri Saring berkata, dana yang disediakan itu menawarkan pinjaman perumahan sehingga RM80,000 kepada pemohon yang layak dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

“Pinjaman yang disediakan oleh MFH adalah Pinjaman Pembelian Rumah dan Pinjaman Pembinaan Rumah, di mana ia membabitkan tempoh pinjaman maksimum selama 25 tahun dengan kadar faedah empat peratus setahun.

“Pastinya keutamaan pinjaman disediakan MFH ini adalah untuk anak Melaka atau mereka yang telah bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Nazri, menerusi dana itu juga MFH turut menyediakan Pinjaman Deposit Pembelian Rumah yang merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri dan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada April 2022.

“Pinjaman deposit 10 peratus ini adalah inisiatif untuk pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) menjelaskan bayaran pendahuluan bagi pembelian rumah tidak melebihi RM180,000.

“Pembiayaan pendahuluan ini dirangka dengan mengambil kira tempoh rumah siap dibina dan bayaran balik dijelaskan sebelum bayaran bulanan dengan institusi kewangan bermula.

“inisiatif ini juga disasarkan kepada pembeli rumah pertama yang majoritinya golongan muda dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mencukupi untuk pembayaran pendahuluan 10 peratus,” katanya.

Tambahnya, inisiatif yang disediakan MFH secara jelas membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu dan memastikan rakyat Melaka mampu memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

71
Kongsi :
Previous post WRUR BAWA IMPAK BESAR UNTUK WARGA KOTA LAKSAMANA