Arab Saudi anjur persidangan antarabangsa perkhidmatan haji, umrah

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Arab Saudi pada Isnin melancarkan persidangan dan pameran antarabangsa yang bertujuan mengumpul cadangan untuk memperkasa perkhidmatan Haji dan Umrah selari dengan Wawasan 2030 negara itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan kepada Bernama hari ini, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur memaklumkan acara tiga hari bertemakan “Transformasi Ke Arah Inovasi,” itu dilancarkan Penasihat Penjaga Dua Masjid Suci dan Gabenor wilayah Mekah, Putera Khalid Al -Faisal.

Dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Program Doyof Al Rahman (Tetamu Allah), persidangan yang diadakan di Jeddah Superdome itu dihadiri menteri dari lebih 20 negara.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam ucapannya berkata Doyof Al Rahman merupakan satu daripada tonggak Wawasan 2030 Arab Saudi untuk memperkukuh lagi perkhidmatan Haji dan Umrah.

“Semua sasaran itu bertujuan merealisasikan satu matlamat yang sentiasa menjadi kepentingan utama kepimpinan kami, iaitu memastikan jemaah haji dan umrah menyempurnakan lawatan dan ibadah mereka dengan mudah, selesa dan tenang,” katanya.

COVID-19 memberi impak besar kepada Haji dan Umrah, terutamanya dari segi kapasiti serta akses dan Arab Saudi telah membangunkan aplikasi mudah alih yang boleh digunakan semasa melakukan ibadah itu, katanya.

Beliau berkata aplikasi “Eatmarna” akan membantu dalam mengatur akses ke Dua Masjid Suci dan dapat mengurangkan kesesakan.

Pada acara itu, beliau turut mengumumkan pelancaran Cabaran Haji dan Umrah bertujuan menarik usahawan, mengumpul idea kreatif dan melaksanakannya bagi memastikan jemaah haji dapat menikmati pengalaman yang lebih baik.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1036
Kongsi :
Previous post Kesihatan Hadi Awang semakin baik – Anak
Next post Projek kediaman Aspire Residence Cyberjaya siap Julai 2023
Ubah saiz-+=