Projek kediaman Aspire Residence Cyberjaya siap Julai 2023

CYBERJAYA, 22 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), memberi jaminan kepada 558 pembeli projek Kediaman Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) Aspire Residence Cyberjaya di sini bahawa, rumah mereka akan siap sekitar Julai 2023 setelah tergendala sejak 2019.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata projek kediaman dengan 1,168 unit, yang mula dibangunkan pada 2016 itu telah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ akibat masalah aliran tunai yang dialami kontraktor, Sterling Prima Sdn Bhd, hingga menjejaskan kerja pembinaan di tapak.

Menurutnya, SPNB dan Sterling Prima telah melaksanakan ‘mutual termination’ semalam, dan ia bermakna SPNB mengambil alih keseluruhan projek dan akan melantik kontraktor baharu dalam masa terdekat.

REEZAL meninjau projek Kediaman SPNB Aspire Residence Cyberjaya. Foto Facebook Reezal Merican Naina Merican

Bercakap kepada media selepas meninjau projek Kediaman SPNB Aspire Residence Cyberjaya itu hari ini, Reezal Merican berkata projek kediaman itu buat masa ini telah mencapai 85 peratus kemajuan pembinaan.

“Projek ini dijadual akan disiapkan dalam tempoh 16 bulan dan sekitar Julai 2023, projek ini akan disiapkan dan selepas itu diserahkan kepada para pembeli,” katanya.

Bagi menjaga kebajikan pembeli yang terkesan, Reezal Merican berkata SPNB telah diarahkan untuk melaksanakan urusan pembayaran Denda Serah Lewat (LAD), seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli bagi menampung sebarang kerugian di pihak pembeli.

“Sekurang-kurangnya ia (LAD) dapat digunakan mereka untuk menampung kehidupan dalam mereka menyewa rumah di tempat lain” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1
Previous post Arab Saudi anjur persidangan antarabangsa perkhidmatan haji, umrah
Next post APMM gagalkan cubaan seludup masuk ganja bernilai RM2.2 juta