Armada Alor Gajah beri sokongan kepada Shahril Hamdan

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

ALOR GAJAH 18 November – Keputusan 195 Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Alor Gajah keluar parti dan memberikan sokongan kepada calon muda Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai satu petanda positif kebangkitan anak muda.

Calon BN Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan berkata, sokongan yang diberikan itu menunjukkan anak muda Alor Gajah mahu melihat satu perubahan baharu dibawa di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Anak muda adalah satu segmen penting dalam PRU kali ini dan saya lihat apa yang berlaku ini menunjukkan Alor Gajah lebih menyokong dan cenderung kepada BN adalah satu perkembangan yang baik.

“Saya tak nak komen tentang kepincangan pada parti lain, saya nampak ia (perkara itu) lebih kepada keyakinan terhadap pimpinan parti mereka, (biarpun) mereka tidak masuk atau tidak memohon untuk masuk BN tetapi ini menyerlahkan dan menzahirkan kecenderungan kepada calon muda iaitu saya.

“Ini bukan kehebatan saya tapi ini lebih kepada mereka yang mahu melihat Alor Gajah ini memilih kepada BN selepas prestasi Adun-Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN dan (kali ini) mereka nak juga wakil Parlimen yang juga datang dari BN,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya yakin sokongan yang diberikan itu mampu memenangkan BN pada kerusi itu, Sabtu ini.

“Saya harap saya boleh menang tapi bukan saja menang sebagai calon malah menang sebagai Ahli Parlimen kerana itu satu kerja yang lebih berat memandangkan ramai yang boleh menang sebagai calon tapi gagal sebagai Ahli Parlimen.

“Tapi (kali ini) saya mahu menang dalam kedua-duanya, Insya-Allah,” katanya.

Semalam, seramai 195 Armada Bersatu Alor Gajah bersama beberapa pucuk pimpinannya menyatakan telah keluar dari parti itu dan kembali menyokong satu-satunya calon muda BN dalam Parlimen itu.

Ketua Armada Cawangan Bukit Senggeh merangkap bekas Ketua Armada Bahagian Alor Gajah, Mohd Amir Fitri Muharam berkata, dia bersama Naib Ketua Bahagian Bersatu, bekas Ketua Srikandi, bekas Ketua Penerangan, Ahli jawatankuasa, Ketua Cawangan dan juga Ahli jawatankuasa cawangan Bersatu Bahagian Alor Gajah nekad untuk keluar parti berikutan keadaan parti yang kucar-kacir.

“Setelah berbincang dan berfikir secara mendalam, peletakan jawatan dan pemberhentian seramai 195 orang ahli Bersatu Alor Gajah berikutan Bersatu Bahagian Alor Gajah tidak aktif di peringkat bahagian dan pentadbiran yang kucar kacir.

“Kami dan rakan-rakan yang lain juga akan meneruskan perjuangan, kerja-kerja sukarelawan dan khidmat bakti kami menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) dan masih belum membuat keputusan untuk memasuki mana mana parti lagi.

“Akan tetapi kami cenderung kepada calon anak muda di Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3929
Kongsi :
Previous post Gelombang anak muda iringi perjuangan BN – Ban Hong
Next post Mohd Ridhwan harap anak rantau pulang tunai kewajipan
Ubah saiz-+=