Gelombang anak muda iringi perjuangan BN – Ban Hong

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

TANGGA BATU 18 November – Momentum sokongan anak muda terhadap Barisan Nasional (BN) dilihat semakin kukuh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Calon BN Parlimen Tangga Batu Datuk Lim Ban Hong berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi gelombang anak muda, khususnya yang pertama kali mengundi turut sama terlibat dan hadir memberi sokongan sepanjang kempen diadakan.

Katanya, situasi itu memberi petanda positif dalam perkembangan politik negara yang memerlukan suara anak muda dalam membawa perubahan baharu kepada negara.

“Saya melihat setiap kali saya turun padang, penyertaan anak muda ini cukup baik dan mereka turut menunjukkan minat serta memberikan sokongan padu sepanjang tempoh berkempen.

“Ini menunjukkan sokongan anak muda semakin kuat terhadap BN yang memperjuangkan idea dan tema kestabilan dan kemakmuran.

“Bagi saya, di Tangga Batu sendiri pelbagai potensi anak muda boleh dikembangkan antaranya saya akan memberi tumpuan terhadap peluang pekerjaan, bantuan usahawan muda, selain program-program yang bersesuaian untuk membantu golongan ini menambah nilai kemahiran yang ada pada diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Santai Anak Muda 4.0 di RUTC, Klebang, malam tadi.

Terdahulu, pada majlis itu, dianggarkan lebih 300 anak muda turut hadir memberikan sokongan kepada calon BN di kawasan itu dan rata-ratanya cenderung memilih parti terbaik dalam membawa suara serta aspirasi mereka.

IMG-20221118-WA0012
UMMI JUHAIDAH

Bagi Ummi Juhaidah Jasmin, 24, faktor tawaran menarik kepada anak muda menjadi antara faktor yang mendorongnya memilih calon untuk diberikan mandat mentadbir kawasan itu.

“Sebelum ini, ramai asyik bercakap soal kebajikan, tetapi kebajikan itu sebenarnya ramai boleh buat termasuk NGO (badan bukan kerajaan). Jadi kita nak tahu apa yang boleh diberi kepada anak muda.

“Jadi, saya yakin masa depan anak muda lebih terjamin dengan BN memandangkan mereka memperjuangkan kestabilan yang boleh membantu membawa suara anak muda ke peringkat tertinggi,” katanya.

IMG-20221118-WA0011
AMAR

Turut menzahirkan nada sama ialah Amar Jamaludin, 29, yang menyifatkan tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir memberikan pengajaran berharga kepadanya.

“PRU14 lalu semua mahukan perubahan, begitu juga saya. Tetapi malangnya, dalam tempoh itu, janji-janji yang ditabur tidak ditepati.

“Jadi saya melihat perlunya kembali kepada BN kerana formula 60 tahun mentadbir itu sudah cukup menggambarkan bahawa parti itu merupakan gabungan yang lebih baik untuk negara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1880
Kongsi :
Previous post PDRM beri jaminan keselamatan hari mengundi Sabtu ini – KPN
Next post Armada Alor Gajah beri sokongan kepada Shahril Hamdan
Ubah saiz-+=