PROGRAM MESRA LESEN REKOD 1,909 PERMOHONAN SEPANJANG 2026

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Program Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Lesen Motosikal Kelas B2 merekodkan sebanyak 1,909 permohonan dalam kalangan B40 menerusi pelaksanaan Fasa 1 dan Fasa 2 pada tahun ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, Fasa 1 melibatkan keseluruhan 403 permohonan, namun daripada jumlah itu hanya 296 orang sahaja melepasi saringan manakala 107 lagi gagal.

Katanya, bagi kategori orang kurang upaya (OKU) Fasa 1 pula, Kerajaan Negeri menerima 113 permohonan dengan 91 lulus saringan dan 22 lagi gagal.

“Sebanyak 946 permohonan direkodkan bagi Fasa 2 dengan 613 permohonan atau 64.8 peratus melepasi saringan, manakala 333 permohonan atau 35.2 peratus gagal saringan.

“Peserta yang lulus saringan pada Fasa 2 melibatkan 291 pelajar, orang awam (186) dan warga emas (17). Statistik Fasa 2 merekodkan seramai 494 peserta selesai mengikuti Ceramah Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP-01),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata seramai 190 peserta direkodkan lulus Lesen Litar (LDL), manakala 183 peserta lulus Lesen Pemandu (PDL) berdasarkan statistik kemajuan calon yang dipaparkan.

“Program MeSRa Lesen Motosikal B2 merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri yang memberi peluang kepada golongan sasaran untuk mendapatkan lesen motosikal, sekali gus membantu meningkatkan akses kepada pemilikan lesen memandu yang sah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post KEHARMONIAN KAUM KUNCI KESTABILAN, KEMAJUAN MELAKA