
KETUA MENTERI PUJI PERSEMBAHAN BERIRAMA SK TENGKERA DUA
KESIDANG 19 Oktober – Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera Dua, atas kejayaan meraih naib johan pada Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2026, sekali gus mengharumkan nama negeri di persada pendidikan negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu wajar dibanggakan kerana apa yang dipersembahkan bukan sahaja menonjolkan bakat murid tetapi sarat dengan pengisian sejarah Kesultanan Melayu Melaka sehingga mencapai kemerdekaan.
“Saya melihat persembahan ini begitu bermakna untuk generasi muda menghayati bagaimana sebuah kota yang gemilang telah hilang dan dikembalikan semula dengan satu semangat kemerdekaan.
“Persembahan ini penuh dengan pengisian sejarah dan saya mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang mendidik anak-anak ini serta murid yang gigih menghasilkan persembahan yang begitu hebat, tepat dan terperinci dari segi pengisian sejarahnya,” katanya.
Beliau yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian pada program Jom Makan Malam Santai Ketua Menteri, di Roti Terbang Mezan Kampung 6, di sini, semalam.
Menurut beliau, pencapaian berkenaan juga membuktikan kepentingan peranan guru dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum tetapi mempunyai pengetahuan sejarah serta jati diri yang kukuh.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan tahniah dan merakamkan penghargaan kepada guru sekolah ini serta anak-anak yang begitu cekal membuat persembahan sehingga berjaya merangkul tempat kedua.
“Saya juga berharap selepas ini murid dan guru terus memperkukuh semangat serta meningkatkan usaha bagi merangkul gelaran johan pada pertandingan peringkat kebangsaan akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

