
‘HALAL COTTAGE’ BANTU USAHAWAN MUALAF MELAKA TEMBUS PASARAN LEBIH LUAS
BANDARAYA MELAKA 19 Oktober – Seramai lapan hingga 10 usahawan mualaf di Melaka dikenal pasti berpotensi menyertai inisiatif ‘Halal Cottage’ bagi membantu mereka mendapatkan pensijilan halal dan mengembangkan perniagaan berasaskan pengeluaran dari rumah.
Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada pengusaha kecil memenuhi keperluan pensijilan halal tanpa perlu memiliki kemudahan kilang berskala besar.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi membantu usahawan mualaf meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran mereka, sekali gus membuka ruang untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
“Kita sudah mengenal pasti antara lapan hingga 10 usahawan mualaf yang berpotensi menyertai inisiatif ini bagi membolehkan mereka menghasilkan produk dari rumah masing-masing.
“Kita juga dimaklumkan terdapat beberapa pengusaha yang sudah mendapat kelulusan pensijilan halal, termasuk pengusaha kek lapis Sarawak yang diusahakan oleh usahawan mualaf di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Seminar Usahawan Mualaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pegawai Syariah dan Kelestarian Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Mohd Nazri Chik; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta kenamaan lain.
Abdul Halim berkata, pensijilan halal bukan sahaja menjadi nilai tambah kepada produk, malah berpotensi membantu usahawan mualaf meneroka peluang pembekalan kepada sektor perhotelan dan pasaran lain yang memerlukan produk memenuhi piawaian halal.
“Apabila mereka mempunyai sijil halal, keyakinan pengguna terhadap produk keluaran usahawan mualaf dapat dipertingkatkan, sekali gus membantu mereka mengembangkan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperluas akses kepada pensijilan halal perlu disokong dengan bimbingan berterusan supaya usahawan dapat memenuhi keperluan berkaitan pengeluaran, kebersihan dan pengurusan produk, selain bersedia memenuhi permintaan pasaran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

