Asal usul Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SEBUT sahaja Jalur Gemilang, sudah pasti rakyat Malaysia mengetahui dan bangga akan bendera keramat negara tercinta ini.

Namun, tahukah anda mengenai sejarah Jalur Gemilang itu sendiri? Ya, kita sebagai rakyat Malaysia bukan sekadar perlu mengenal luaran Jalur Gemilang itu sendiri tetapi wajib tahu akan sejarahnya.

DIILHAMKAN MELALUI PERTANDINGAN REKA CIPTA BENDERA 1948

Pada Mei 1948, satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaaan telah diadakan dan pertandingan itu sendiri merupakan pencetus ilham kepada Penciptaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dalam pertandingan itu dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan. Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir.

Reka bentuk seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Mohamed Hamzah telah mendapat majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

Walaubagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih diganti dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja.

PERTAMA KALI DIKIBAR PADA 26 MEI 1950

Tanggal 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.

Majlis pengibaran itu dihadiri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar bagi Negeri Perak, Terengganu, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh Sir Henry Gurney iaitu Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu.

MAKSUD JALUR GEMILANG

Jalur Gemilang ialah bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih yang sama lebar bermula dengan jalur merah di bahagian atas dan berakhir dengan jalur putih di bahagian bawah.

Jalur Bendera Malaysia melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju dan arah yang sama diikuti oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Jalur Gemilang ini mewakili keanggotaan 13 buah negeri manakala 1 jalur mewakili Kerajaan Persekutuan.

Gemilang pula bermaksud bercahaya terang benderang dan cemerlang. Ia juga melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu serta boleh menaikkan imej negara di dalam dan di luar negara.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post Dulu asnaf, kini bergelar usahawan berjaya
Next post MBMB laksana operasi pemindahan barang di tempat awam
Ubah saiz-+=