Dulu asnaf, kini bergelar usahawan berjaya

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PERNAH jatuh terduduk seketika apabila perniagaan yang diusahakan gagal sekitar tahun 2011, namun itu bukan penghalang untuk seorang usahawan, Zaidi Omar untuk kembali bangkit.

Zaidi berkata, kejatuhan itu membuatkan dirinya dan keluarga hilang sumber pendapatan hingga terpaksa mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Jelasnya daripada bantuan yang diterima pada 2011 hingga 2017, kini pihaknya telah berjaya keluar sepenuhnya daripada garis kemiskinan sekali gus tidak lagi bergantung harap kepada bantuan yang disediakan kerajaan.

ZAIDI

“Pada asalnya saya menjalankan perniagaan seperti biasa, kemudian ada sedikit masalah membuatkan kejatuhan perniagaan dan itu membuatkan saya jadi tidak berdaya.

“Kemudian MAIM datang menghulurkan bantuan dan di atas bimbingan dan mungkin disebabkan sikap dan tingkah laku saya membuatkan saya layak menerima bantuan geran perniagaan dan sebagainya.

“Saya menerima bantuan sekitar RM13,000 daripada MAIM selain turut menerima pelbagai lagi bantuan kewangan daripada agensi lain dan alhamdulillah kini saya berjaya keluar daripada golongan penerima bantuan,” katanya.

Menurutnya, berkat daripada kejayaan itu, pihaknya kembali semula kepada pihak MAIM dan bersama-sama menubuhkan Persatuan Komuniti Usahawan Asnaf Negeri Melaka yang bertujuan untuk membantu lebih ramai golongan asnaf negeri ini.

Jelasnya melalui persatuan itu, pihaknua telah menyediakan pusat khidmat bimbingan latihan dan keusahawanan secara percuma meliputi aspek pengurusan kewangan, pelabelan, pembungkusan dan pemasaran.

Tidak hanya itu, bagi melebarkan lagi sayapnya, Zaidi turut menubuhkan sebuah koperasi yang diberi nama Koperasi Usahawan Asnaf Melaka Berhad dalam misi meningkatkan ekonomi golongan asnaf yang mahu berubah ke arah lebih baik.

“Idea penubuhan koperasi datang kerana kita tahu masalah utama asnaf pada masa sekarang ialah membabitkan soal pemasaran dan kebanyakan mereka biasanya bergerak sendirian.

“Berdasarkan pengalaman, saya tahu jika bergerak sendiri adalah sukar untuk berjaya. Bila tertubuhnya Persatuan Komuniti Usahawan Asnaf, saya menerima banyak peluang perniagaan untuk diterokai.

“Tapi sayangnya, dalam persatuan kita tidak boleh berkongsi keuntungan daripada perniagaan. Sebab itulah kita wujudkan satu koperasi sebagai satu gerakan tepat untuk membantu usahawan asnaf memandangkan dalam koperasi secara dasarnya kita kena kongsi semua benda,” katanya.

Zaidi berkata, daripada penubuhan Koperasi Usahawan Asnaf Melaka Berhad yang baru ditubuhkan itu, pihaknya menyasarkan untuk mendapatkan keahlian seramai 100 usahawan asnaf untuk peringkat awal.

Ujarnya, untuk perancangan masa panjang, pihaknya akan cuba membawa masuk seramai 5,000 usahawan asnaf di dalam koperasi tersebut.

“Selain itu, kita juga sedang berusaha menubuhkan satu kesatuan bagi membolehkan suara-suara golongan asnaf didengari di peringkat lebih tinggi di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Views:

973
Kongsi :
Previous post MiCoST IPT ke-15 sertai Gerakan Pengguna Siswa
Next post Asal usul Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=