Sorting by

×

SENTUHAN MAGIS URUTAN SARAF TIARA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

ASAHAN 11 Mei – Seorang wanita di Kampung Pondok Batang, di sini, kini mampu berdiri sendiri selepas berjaya membina perniagaan berasaskan perkhidmatan urutan saraf yang dikenali sebagai D’Tiara Zitah Reflexology yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk setempat.

Tiara Zitah Mohamed Saat, 50, yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 berjinak dalam bidang urutan sejak 2016, sebelum memulakan perniagaan di kampung halamannya pada 2019.

Ujarnya, perkhidmatan yang ditawarkannya bermula dengan servis urutan dari rumah ke rumah mengikut pesanan menerusi aplikasi Whatsapp.

“Pada tahun 2021 selepas pandemik COVID-19, saya beranikan diri untuk memanggil pelanggan ke rumah untuk perkhidmatan urut saraf ini dan sehingga kini saya mempunyai sebuah kabin serba lengkap untuk pelbagai jenis urutan.

“Selain urutan saraf, saya juga menyediakan perkhidmatan urutan bagi rawatan strok, urutan ibu bersalin, serta lulur dan ‘scrub’ badan untuk lelaki dan wanita.

“Setiap sesi rawatan mengambil masa antara dua hingga lima jam, bergantung kepada keperluan pelanggan, selain turut menawarkan perkhidmatan rumah ke rumah pelanggan, khususnya bagi mereka yang uzur atau baru sembuh daripada strok,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, perniagaan itu terus mendapat tempat dan memberikan sedikit kelegaan apabila permohonan untuk geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) sebanyak RM15,000 diluluskan.

“Terima kasih kepada Pengerusi Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Batang dan Kampung Abbey Usly Abu yang banyak membantu golongan ibu tunggal dalam kawasan ini yang memerlukan.

“Saya menggunakan dana geran tersebut untuk membina kabin bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan yang datang, bantuan ini sangat membantu,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia turut bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan menyediakan ruang rawatan lebih selesa dan menambah baik kapasiti perkhidmatan urutan saraf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post LADANG TEH OOLONG ‘SUBUR’ DI BUMI MACHAP
Next post 24H ULTRAMARATHON: USIA BUKAN PENGHALANG TAMATKAN LARIAN LEBIH 100KM