
LADANG TEH OOLONG ‘SUBUR’ DI BUMI MACHAP
MACHAP JAYA 11 Mei – Di sebalik ketenangan Kampung Machap Baru, terselit sebuah ladang teh yang tersorok jauh di kawasan pedalaman nan menghijau, diusahakan sepenuhnya oleh anak tempatan menggunakan kaedah tradisional.
Jika dilihat pada mata kasar, penghasillan teh mungkin tampak mudah dan ringkas. Namun hakikatnya, setiap helaian daun teh yang dihasilkan perlu melepasi pelbagai proses-proses rumit.
Setiap hasil yang berkualiti menuntut ketelitian, kesabaran yang tinggi serta pemahaman mendalam terhadap teknik dan proses pembuatan teh.
Keperluan inilah yang mendorong pengorbanan seorang pengusaha ladang teh, Chong Siang Kim, 64, apabila dia sanggup merantau ke negara China semata-mata untuk mendalami sendiri ilmu dan teknik penghasilan teh sebelum diaplikasikan di ladangnya di Kampung Machap Baru.
Menurutnya, ladang seluas satu setengah hektar itu kini mempunyai kira-kira 2,500 pokok teh yang diusahakan sejak 15 tahun lalu.
“Proses penghasilan teh boleh memakan masa seharian. Seawal jam 6 pagi, pekerja akan mula memetik daun teh di ladang. Kemudian, daun teh akan ditimbang sebelum melalui proses pemanggangan bagi menghasilkan teh oolong yang berkualiti tinggi.
“Daun teh akan dipanggang dalam ketuhar dengan suhu sederhana selama kira-kira empat jam bagi menghasilkan aroma teh yang lebih asli dan wangi. Seterusnya, ia dijemur secara tradisional sehingga mencapai tahap kekeringan yang sesuai sebelum diproses menjadi produk akhir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, katanya, keunikan ‘Siang Kim Tea’ bukan sahaja terletak pada kaedah tradisional, malah turut dipercayai mempunyai manfaat kesihatan seperti membantu menyingkirkan lemak dalam badan serta menyembuhkan sakit tekak pengguna.
Siang Kim menambah, pengeluaran hasil boleh mencapai anggaran sekitar lapan kilogram sehari, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan kitaran petikan yang berlaku sekitar dua hingga empat kali sebulan.
Sepanjang mengusahakan ladang tersebut, dia mengakui berdepan kekangan untuk mengembangkan lagi tanaman tersebut memandangkan ia berada di tanah milik kerajaan.
Meskipun begitu, dia tetap meneruskan usaha itu kerana menganggapnya bukan semata-mata untuk keuntungan, sebaliknya sebagai minat serta sumbangan kepada masyarakat.
Dia berharap usaha tanaman teh tradisional tersebut dapat diteruskan dan berpotensi untuk dijadikan salah satu tarikan pelancongan di Kampung Machap Baru pada masa akan datang memandangkan teh yang dihasilkan di ladang itu turut mendapat permintaan daripada dalam dan luar negara termasuk China dan Singapura.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


