
JURURAWAT NADI SISTEM KESIHATAN NEGARA
LENDU 14 Mei – Jururawat atau ‘kakak misi’ menjadi tulang belakang dan nadi yang menggerakkan sistem kesihatan negara termasuk di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata tema sambutan Hari Jururawat Sedunia tahun ini iaitu ‘Our Nurses, Our Future. Empowered Nurses Save Lives’ tersirat makna cukup besar dalam mengiktiraf peranan jururawat
“Justeru, saya mengambil kesempatan ini mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia yang telah disambut pada 12 Mei 2026.
“Kalau malam ini, kami boleh duduk dengan tenang bersama keluarga…Kalau malam ini ada ibu yang masih boleh memeluk anaknya…Kalau malam ini ada rakyat yang masih diberi peluang untuk terus hidup…Percayalah, di sebalik semua itu… Ada pengorbanan besar warga kesihatan yang jarang sekali diminta untuk dihargai,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Seuntai Kasih, Semekar Legasi Warga Kesihatan Parlimen Masjid Tanah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.
Yang Turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah merangkap Adun Kuala Linggi, Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta 200 petugas dan pesara kesihatan yang diraikan.
Selain itu beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada 9,000 wira dan srikandi kesihatan seluruh Melaka atas komitmen mereka dalam menjamin kesejahteraan lebih 1.05 juta rakyat negeri ini.
Ab Rauf berkata, bagi memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat Kerajaan Negeri setakat ini melaksanakan inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM), 1 PBT 1 AMBULANS’ serta memasang Sistem Butang Kecemasan di lokasi pelancongan utama.
“Ketiga-tiga ini adalah inisiatif pertama seumpamanya diperkenalkan di Malaysia demi keselamatan rakyat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

