
WARGA EMAS TERLANTAR TERHARU DISANTUNI MAIM
AYER MOLEK 14 Mei – Kehidupan seorang warga emas yang terlantar akibat angin ahmar menjadi antara lembaran kisah yang membuktikan bahawa program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri.
Zainiah Didek, 66, yang hidup serba kekurangan menjadi antara insan memerlukan yang disantuni Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi ziarah kasih yang diadakan bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, baru-baru ini.
Warga emas itu terharu apabila kepayahan hidupnya yang lumpuh separuh badan dan terpaksa bergantung kepada penjagaan kenalan rapat mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan wakil rakyat yang banyak membantu termasuk menerusi bantuan bulanan yang disalurkan MAIM.
“Syukur, masih ada yang ingat dan sayang pada saya. Terima kasih sudi jenguk dan beri sumbangan serta semangat untuk saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, sesi ziarah itu diketuai Terdahulu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman.
Turut bersama Pegawai Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Menerusi Ziarah Kasih WRUR DUN Ayer Molek itu, seramai 10 asnaf dan mualaf telah disantuni, selain diberikan sumbangan berupa wang tunai dan kit makanan bagi meringankan beban mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

