AUKU perlu islah bukan mansuh

Masa Membaca:5 Minit, 12 Saat

Oleh: Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

KETIKA membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia Madani, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggunakan perkataan islah, yang dipetik daripada mafhum surah Hud, ayat 88, bagi memfokus segenap daya dan upaya yang bersungguh-sungguh ke arah penambahbaikan, pembaharuan serta perubahan kepada negara.

Ikhtiar islah atau penambahbaikan telah dimulakan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebaik sahaja dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi melalui 11 amanat utama sempena ucapan sulungnya di perutusan tahun baharu 2023. Paling menarik perhatian adalah hasrat dan azamnya yang kesebelas tentang Pemerkasaan Mahasiswa, dengan memberi lebih banyak kuasa, kebebasan dan tanggungjawab bagi membantu kedewasaan mereka.

Sewaktu sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja, beliau sekali lagi memberi jaminan bahawa aktivisme politik pelajar boleh dijayakan tanpa sebarang sekatan dan halangan. IPT pula digesa supaya memainkan peranan dalam bekerjasama, berusaha dan mendokong kebebasan berpolitik.

Malah, ketika ditanya mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa AUKU masih relevan dan Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkannya.

Terdapat dua persoalan lazim yang menjadi polemik perbahasan, pandangan dan pendirian mengenai AUKU adalah, pertamanya, adakah AUKU perlu kekal atau dimansuhkan kewujudannya? Kedua, wajarkah AUKU kekal seperti sedia ada atau perlu diislah yakni ditambah baik?

KEPERLUAN AUKU TADBIR URUS UNIVERSITI

Pertamanya, di sudut tadbir urus, AUKU adalah Akta Ibu yang memperuntuk mengenai tadbir urus sesebuah universiti di Malaysia, dilihat masih lagi relevan khususnya bagi menguatkuasakan fungsinya dalam hal ehwal berkaitan tadbir urus universiti.

Hal demikian, merujuk kepada Seksyen 4A AUKU 1971, berkaitan pelantikan Naib Canselor, yang memberi kuasa kepada Menteri untuk melantik Naib Canselor, dengan dibantu oleh jawatankuasa untuk menasihati Menteri berhubung pelantikan tersebut.

AUKU turut menjelaskan mengenai kuasa universiti yang merangkumi kuasa akademik, penyelidikan, pengkomersilan, penerbitan, perpustakaan, pekerja, pelajar dan sebagainya sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 4 (1), Bahagian I, Jadual Pertama, AUKU 1971.

Selain itu, AUKU memperuntukkan mengenai pihak-pihak berkuasa universiti yang mentadbir universiti seperti Lembaga Pengarah Universiti dan Senat. Semestinya, pihak-pihak berkuasa ini adalah sangat penting sebagai badan pembuat dasar dan keputusan bagi sesebuah universiti. Rujukan berkaitan Lembaga Pengarah Universiti boleh dibuat terhadap Seksyen 13 (1), Bahagian III, Jadual Pertama, AUKU 1971.

Selanjutnya, menerusi AUKU juga, majlis konvokesyen di sesebuah universiti bagi meraikan kejayaan pelajar bergraduasi dapat dilaksanakan kerana ia dinyatakan secara jelas dalam Seksyen 44 (1) Bahagian VI, Jadual Pertama, AUKU 1971 yang memperinci sebagaimana berikut:

44. (1) Konvokesyen untuk menyampaikan ijazah hendaklah diadakan setiap tahun, atau seberapa kerap mengikut sebagaimana yang diarahkan oleh Canselor, pada tarikh yang diluluskan oleh Canselor.

Selaras sudut pandang tadbir urus di atas, sudah tentu pemansuhan AUKU, sedikit sebanyak akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutamanya ketika peralihan akta jika sekiranya berlaku.

Bahkan, jika pemansuhan akta ini berlaku, pencerakinan lanjut turut diperlukan perhatian, kerana terdapat juga akta lain berkaitan yang turut berkuatkuasa misalnya Akta Institusi 1996 (Akta 550), Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), dengan diikuti oleh beberapa akta lain berkaitan, yang diselia di bawah Kementerian atau agensi lain.

AUKU 1971 PERLU PENGISLAHAN

Heraclitus, Ahli Falsafah Yunani menyebut, ‘the only thing that is constant is change’. Apatah mega trend dunia sekarang, sedang memfokus kepada perubahan High Arts, High Tech dan High Touch. Selaras tuntutan zaman dan perubahan dunia yang pantas beredar pada orbitnya, sewajarnya AUKU, jika tidak dimansuh pun, perlu dilakukan islah yakni ditambahbaik seiring dengan keperluan semasa.

Sebenarnya, sejak AUKU 1971 yang berusia 52 tahun ini dilulus dan diwartakan, telah melalui proses pengislahan melalui tujuh kali pindaan iaitu pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan 2019.

Contohnya, pada tahun 2012, pindaan yang dibuat telah mula mengembalikan sedikit kebebasan kepada mahasiswa bagi terlibat dalam politik di luar kampus.

Selain itu, jika sebelum itu tiada satu badan khusus untuk menangani isu aduan pelajar, namun dengan pindaan AUKU 1971 pada tahun 2012, satu peruntukan tambahan berkaitan Jawatankuasa Aduan Pelajar telah dimasukkan bagi menambah keyakinan mahasiswa. Ini sewajarnya menunjukkan bahawa, kepentingan dan hak pelajar sentiasa boleh dimasukkan dan disuai imbang dalam AUKU, melalui proses pindaan dan bukannya pemansuhan AUKU 1971 secara keseluruhannya. Seksyen 21A, Bahagian III, Jadual Pertama, AUKU 1971, telah memperuntuk perincian mengenai Jawatankuasa Aduan Pelajar, termasuklah menjalankan siasatan atau inkuiri ke atas apa-apa aduan yang dibuat oleh pelajar mengikut cara yang ditetapkan oleh Statut.

Kemudian, diikuti pula tahun 2019, sekali lagi pindaan penting telah dibuat apabila Kerajaan telah memansuhkan Seksyen 15 (2) (c) AUKU 1971. Melalui pindaan signifikan ini, pelajar universiti boleh terlibat dengan aktiviti parti politik di dalam Kampus.

Kesinambungannya, proses pengislahan melalui libat urus, penambahbaikan dan pindaan AUKU yang melibatkan para mahasiswa, kakitangan akademik dan pengurusan universiti serta yang semua pihak yang berkepentingan akan berlaku berterusan, bagi mendapat input berkesan, supaya segala penambahbaikan dan pindaan AUKU tersebut dilaksanakan dengan tuntas, memenuhi kehendak serta tuntutan pemegang taruh, seiring dengan keperluan semasa dan perubahan era kontemporari.

AGENDA BESAR PEMERKASAAN MAHASISWA

Mengambil roh dan semangat islah yakni penambahbaikan dan pindaan terhadap AUKU 1971 tersebut, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, dengan tegas dan reformis, memulakan 11 agenda besarnya, melalui amanat harapan dan masa depan dalam perutusan tahun baharu 2023, khususnya hasrat dan azam kesebelasnya, iaitu pemerkasaan mahasiswa. Agenda memperkasakan pelajar ini dilakukan dengan memberi kebebasan, lebih banyak kuasa, tanggungjawab dan ruang dalam membuat keputusan.

Sebagai way forward, pemerkasaan mahasiswa tersebut diperkasakan lagi dengan memberi kebebasan dan kuasa yang bersesuaian kepada gerakan mahasiswa dan ‘student union’. Kuasa itu turut melibatkan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar oleh pelajar sepenuhnya, autonomi pelaksanaan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan kewangan dan berpolitik dalam serta di luar kampus, demi mendewasakan mereka. Biar mereka belajar, mengerti, merasai pengalaman manis dan pahit, menikmati kejayaan, yang akhirnya menyumbang kepada proses memanusiakan manusia.

Ini membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar agar mereka berkompetensi ‘smart dan sharp’, berkemahiran ‘kalis masa depan’ serta membudayakan kepemimpinan mahasiswa unggul, yang ‘tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan’, selain meninggikan nilai ‘karamah insaniah’ atau insan karamah ke dalam diri mereka.

Jelasnya, AUKU adalah akta yang rumit. Memansuhkan AUKU setakat ini, bukanlah jalan penyelesaian. Sebaliknya melakukan islah berterusan dan bersungguh-sungguh, menambah baik mana yang sesuai adalah relevan sekaligus langkah yang terbaik. Bagai dipesan oleh Buya Hamka, ‘bebanmu akan berat. Jiwamu harus kuat. Tetapi percayalah, langkahmu akan jaya’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1963
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Melaka cecah 601 orang
Next post Aspirasi Shadan pacu dua dekad MBMB
Ubah saiz-+=