Aspirasi Shadan pacu dua dekad MBMB

Masa Membaca:5 Minit, 40 Saat

Oleh: Mohamad Fazrul Abdul Majid, Fiqa Jamal dan Iqmal Haqim Rosman

BANDARAYA MELAKA 6 Mac – Sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan terbesar Negeri Melaka dengan keluasan pentadbiran 55,140.93 hektar (termasuk kawasan tambakan laut), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berikrar untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti kepada warga Bandaraya Melaka

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini berkata, dalam merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya telah merangka serta menyusun gerak kerja dalam memastikan kesejahteraan, kemampanan dan kelestarian Bandaraya Melaka terus terpelihara.

Katanya, bagi memastikan perkhidmatan terbaik disediakan menjelang dua dekad penubuhan MBMB, pihaknya menetapkan empat agenda yang perlu dipatuhi warga kerja MBMB, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani oleh Kerajaan Persekutuan dan saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Empat agenda itu ialah menumpukan kepada penyelesaian masalah; memenuhi keperluan semasa bandaraya dan negeri; menyentuh pencorakan masa depan serta memenuhi ekspektasi warga bandaraya dan negeri.

RANCANGAN TEMPATAN MBMB 2035

Walaupun baru sahaja menerajui PBT tersebut pada 1 Februari lalu, Shadan tidak menunggu lama untuk membuktikan kesungguhan dan menterjemah visi serta misinya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ia dapat dilihat menerusi Rancangan Tempatan MBMB 2035 yang bakal didokumenkan bertujuan menjadi rujukan pembangunan di dalam kawasan Bandaraya Melaka.

“Menerusi dokumentasi ini, kita akan merangka program dan projek mengikut kesesuaian pelaksanaannya menerusi fokus jangka masa pendek, sederhana mahupun panjang.

“Ia bermaksud, kita akan mengkaji setiap kawasan di Bandaraya Melaka dan melihat apa yang ada dalam kawasan tersebut untuk dibangunkan dan boleh memberi impak kepada ekonomi serta negeri.

“Dengan cara ini kita dapat menunjukkan kepada pelabur untuk mereka lebih mudah merancang pelaburan mereka dalam jangka masa panjang, pendek dan sebagainya,” jelas Shadan.

Shadan berkata, seiring dengan arus kemodenan masa kini, MBMB turut komited menjadi sebuah Bandaraya mampan dan lestari dengan pelaksanaan pelbagai program dan projek menerusi pendekatan pintar.

Antara projek yang memberi manfaat cukup besar kepada warga Bandaraya Melaka ialah dengan kewujudan Sistem Penyuraian Trafik yang efisien (SPIKTRA-M) dan laman sesawang i-Trafik MBMB yang memaparkan situasi trafik masa sebenar di 11 zon MBMB.

photo1677139653
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman menunjukkan paparan pergerakan trafik yang boleh dilayari dari laman sesawang rasmi iTrafik MBMB. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Selain itu, MBMB turut menyediakan perkhidmatan pembayaran melalui platform dalam talian MYFPX, Sistem Pemantauan Operasi Pam (SPOP), Sistem Pejalan Kaki Automatik (SIPKA), Sistem Tali Amaran Pintar, Smart CCTV dan pelbagai lagi.

“Semua ini adalah bertujuan memperkukuh tadbir urus bandaraya, demi kesejahteraan warga Bandaraya Melaka melalui perkhidmatan yang telus serta pembangunan yang terancang dan mampan,” katanya.

CAKNA KEBERSIHAN

Isu kebersihan merupakan isu yang terhampir dengan semua PBT di negeri ini memandangkan Melaka terkenal sebagai negeri pelancongan.

Justeru, Shadan berkata, bagi mengekalkan status Bandaraya Melaka sebagai antara bandaraya terbersih di Asia Tenggara seperti dilapor portal Indonesia, pihaknya akan terus memastikan aspek kebersihan menjadi keutamaan.

Untuk itu, jelasnya, MBMB membelanjakan sejumlah RM26.4 juta setahun untuk kerja-kerja pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran MBMB sepanjang tahun ini yang mana ia nilai itu meningkat 16.3 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Memandangkan Bandaraya Melaka Bersejarah merupakan sebuah negeri pelancongan maka fokus utama menuntut usaha yang berterusan untuk menjadikan kawasan-kawasan pelancongan yang bersih untuk keselesaan warga bandaraya termasuk pelancong.

“Saya kira semua orang perlulah memainkan peranan masing-masing dan bertanggungjawab bagi memastikan tahap kebersihan di setiap kawasan pelancongan tersebut berada pada tahap yang terbaik seperti mana yang dilakukan Jepun, walaupun tiada tong sampah disediakan, namun kebersihan mereka di tahap terbaik kerana masyarakat memberi kerjasama cukup baik,” katanya.

Tambah Shadan, bagi merancakkan kempen kebersihan di Bandaraya Melaka, beliau turut bercadang melantik beberapa pempengaruh (influencer) sebagai duta kecil untuk mempromosikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan yang bersih dan selesa.

PROJEK UNTUK RAKYAT

Menurut Shadan, sepanjang tahun ini, MBMB telah memperuntukkan RM45.3 juta bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan projek serta inisiatif yang memberi manfaat kepada penduduk bandaraya.

330615904_208908001679612_3267708457706556578_n
SHADAN ketika sesi soal jawab pada program Hari Bertemu Rakyat Pusat Khidmat Parlimen Hang Tuah Jaya. Foto: MBMB

Antara projek fokus yang diberi keutamaan ialah menaik taraf kawasan ‘hotspot’ banjir dan pembaikan cerun di tiga lokasi iaitu Telok Mas, Taman Trendak Permai Fasa 2 dan Bukit Senjuang.

Selain itu, turut diberi perhatian ialah kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih kawasan pelancongan dan rekreasi awam dengan anggaran kos projek RM7.38 juta.

“Ia termasuklah membabitkan Kompleks Renang MBMB Banda Hilir, tandas awam di kawasan pelancongan, baik pulih ‘board walk’ Sungai Melaka, serta litar ‘push bike’ dan ‘skatepark rink’ di Taman Bandaraya Bukit Serindit.

“Projek pengindahan dan keceriaan Bandaraya Melaka turut membabitkan pemasangan lampu Smart LED Street Lighting iaitu lampu untuk tujuan keselamatan dan mesra alam yang akan dipasang di kawasan tarikan baharu dengan anggaran kos projek RM2 juta,” katanya.

Tambah Shadan, bagi aspek keselamatan, pihaknya turut memperuntukkan RM1 juta bagi menambah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bandar dan kawasan berisiko jenayah.

BANDARAYA MESRA PENIAGA

Dalam aspek perniagaan pula, Shadan berkata, MBMB bakal memperuntuk RM7.48 juta bagi memulih, menaik taraf serta membina baharu beberapa gerai perniagaan di Bandaraya Melaka.

Katanya, antara yang akan dinaik taraf ialah gerai pelancongan di Taman Alai Perdana dan membina sebuah pusat penjaja terbuka di Taman Seri Telok Mas, selain membina kiosk jenis kontena bagi menggantikan kafe bas di Dataran Klebang.

Selain itu, MBMB turut menyediakan lapan lot ‘uptown’ dan ‘downtown’ dalam kawasan pentadbiran MBMB membabitkan 1,200 tapak penjaja.

Katanya, antara lokasi ‘uptown’ dan ‘downtown’ yang telah disediakan ialah di Banda Hilir, Kota Laksamana dan Klebang, selain melihat keperluan penambahan tapak penjaja di kawasan tarikan baharu bagi memberi peluang kepada peniaga di negeri ini.

4
BANGUNAN Stadthuys di Banda Hilir merupakan antara lokasi tumpuan utama pelancong di Bandaraya Melaka. Foto: MR. AZLI

PERSEDIAAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2024

Bagi menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024, MBMB sebagai kawasan pentadbiran terbesar membabitkan lokasi pelancongan, sejarah dan warisan akan melakukan persediaan rapi dalam menyambut kehadiran pelancong tahun depan.

Jelas Shadan, antara fokus utama MBMB ialah terhadap aspek kebersihan, keselamatan selain keceriaan kawasan-kawasan tarikan pelancong.

Menurutnya, antara kawasan pelancongan yang diberi fokus bagi kerja naik taraf ialah Klebang dan Pantai Puteri yang menjadi tumpuan pada setiap hujung minggu.

“Baru-baru ini, saya bersama Setiausaha Bandaraya telah mengadakan lawatan ke dua lokasi ini bagi melihat sendiri penambahbaikan yang boleh dilakukan.

“Boleh dikatakan dua kawasan ini kelihatan agak ‘messy’ pada ketika ini, jadi, kita akan cuba buat penyusunan semula membabitkan infrastruktur dan juga penambahbaikan bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong,” katanya.

Menurut Shadan, selain dua lokasi dinyatakan, MBMB akan turut membangunkan lokasi-lokasi pelancongan lain yang berteraskan lokasi bergambar menarik, selari dengan minat anak muda masa kini yang gemar memuat naik gambar dengan tanda pagar #OOTD (outfit of the day).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2476
Kongsi :
Previous post AUKU perlu islah bukan mansuh
Next post Kanser kolon ‘musuh dalam selimut’
Ubah saiz-+=