Kanser kolon ‘musuh dalam selimut’

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

RAMAI yang masih tidak mengetahui kanser kolon merupakan penyakit kanser kedua penyebab kematian direkodkan di negara ini yang menyerang ‘mangsanya’ dalam keadaan senyap.

Kanser yang dikenali sebagai Kanser Kolorektal kini telah menyerang rakyat Malaysia apabila kajian mendapati kira-kira 15 orang daripada 100,000 lelaki di negara ini dijangkiti penyakit berkenaan malah jumlah itu juga membabitkan wanita apabila sebanyak 11 daripada 100,000 pesakit adalah dalam kalangan wanita.

Doktor Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr. Ng Chiun Yann berkata, kesedaran masyarakat dalam mengenali penyakit itu masih pada kadar yang rendah berikutan kadar penerimaan prosedur menjalani ujian saringan kurang menerima sambutan.

KENALI PUNCA

Kolon berfungsi mencerna makanan yang diterima daripada usus kecil sebelum proses penyahtinjaan berlaku dalam sistem penghadaman badan.

Perubahan tabiat dalam proses pembuangan air besar menyokong kepada simptom awal penyakit terbabit malah ada pesakit terpaksa berdepan dengan gejala pembuangan najis berdarah juga membawa kecenderungan kepada permasalahan terbabit.

Dr. Ng berkata, sakit di bahagian bawah perut turut menyumbang kepada simptom terbabit malah ia akan membawa pesakit kepada hilangnya selera pemakanan dan penurunan berat badan yang mendadak.

“Malah fizikal pesakit juga akan berubah apabila ada pesakit akan bermuka pucat akibat kurangnya darah merah di badan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

FAKTOR UTAMA KANSER KOLON

Secara kebiasaannya, kanser ini akan menyerang manusia yang lebih berusia malah faktor keturunan juga merupakan antara risiko seseorang cenderung untuk menerima penyakit ini. Kebelakangan ini, bilangan kanser kolorektal juga semakin meningkat dalam kalangan orang muda.

Beliau berkata fenomena ini berlaku kerana terdapat faktor lain yang mungkin mengakibatkan seseorang boleh menghidap penyakit itu.

“Antara faktornya adalah menerusi diet pemakanan seharian di mana individu yang sering mengamalkan pemakanan daging proses seperti sosej, peperoni dan ham.

“Selain itu, gejala merokok, pengambilan alkohol, obesiti dan kurang bersenam juga merupakan antara risiko kanser kolon,” katanya.

Tambahnya, apabila seseorang itu tidak mempunyai simptom penyakit itu, saringan boleh dilakukan dengan kaedah ujian pengesanan darah menerusi najis atau pemeriksaan kolonoskopi.

2
DR. NG Chiun Yann ketika ditemu bual Melaka Hari Ini. Foto: Mr. AZLI

KENALI POLIP DALAM PERUT

Pertumbuhan Polip di dalam usus besar boleh mengakibatkan seseorang menghidap kanser kolon sekiranya tidak dirawat sewajarnya.

Menurut Dr. Ng, polip merupakan seketul daging yang tumbuh di dalam dinding usus besar dan polip boleh membesar sehingga membentuk seakan seketul cendawan atau brokoli. Dari masa ke masa, sesetengah polip kolon boleh membesar dan menjadi kanser kolon, yang mungkin membawa maut apabila ditemui pada peringkat akhir.

Beliau berkata, sekiranya seseorang dikesan mempunyai polip yang tumbuh di dalam usus, ia perlu dirawat dengan kadar segera menerusi pemotongan polip yang boleh dilaksanakan semasa menjalani kolonoskopi.

RAWATAN KOLONOSKOPI

Menerusi langkah pencegahan awal, rawatan prosedur kolonoskopi akan dilaksanakan bagi mengesan permasalahan yang berlaku dalam usus besar malah ia juga merupakan antara rawatan bagi membuang polip yang tumbuh di dalam organ itu.

Menerusi prosedur terbabit, satu tiub fleksibel akan dimasukkan ke dalam saluran dubur pesakit dan disambungkan dengan alat perakam video bagi mengesan pemeriksaan di dalam usus tersebut.

“Sebelum ujian kolonoskopi dijalankan, pesakit perlu menjalani proses penyediaan usus untuk membersihkan usus dari najis dan membolehkan pemeriksaan usus dibuat dengan jelas.

“Pesakit dinasihatkan tidak mengambil makanan berserat seperti sayur atau makanan berasaskan protein.

“Kolonoskopi biasanya dilakukan di bilik rawatan harian dan pesakit boleh pulang pada hari yang sama selepas prosedur,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2907
Kongsi :
Previous post Aspirasi Shadan pacu dua dekad MBMB
Next post Digital ‘DNA’ baharu koperasi
Ubah saiz-+=